Indonesia siasat kes 700 pelajar keracunan makanan
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang menyiasat kes keracunan makanan, membabitkan hampir 700 kanak-kanak di Yogyakarta minggu ini.
Kejadian itu disyaki berlaku selepas pelajar memakan makanan disediakan di bawah program utama Presiden Prabowo Subianto iaitu makanan percuma di sekolah.
Ketua Agensi Pemakanan Negara (BGN), Dadan Hindayana yang mengendalikan program itu berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat kes di Gunungkidul dan premis memasak berhampiran sudah ditutup sementara.
Terdapat 11,000 premis memasak di kepulauan itu.
Makanan percuma dijangka disalurkan kepada kira-kira 70 juta penerima menjelang akhir tahun ini, dan jumlah itu lebih rendah berbanding sasaran awal kerajaan iaitu 83 juta, ekoran kekurangan tempat memasak, seperti dilaporkan Dandan, awal bulan ini.
Program dilancarkan pada Januari lalu, itu adalah janji utama kempen pilihan raya Prabowo, namun data pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali di peringkat tempatan sebagai JPPI menunjukkan kira-kira 15,000 kanak-kanak jatuh sakit sehingga semalam.
JPPI menyeru program berkenaan digantung.
Pihak berkuasa pula berkata, keracunan makanan sering berlaku akibat penyimpanan makanan tidak betul dan kelewatan penghantaran hidangan siap masak.
Semalam, Ketua Wilayah Gunungkidul, Endah Subekti Kuntariningsih, berkata kira-kira 660 pelajar dari dua sekolah sakit akibat keracunan selepas makan makanan percuma di sekolah.
BGN semalam berkata, pihaknya sudah mengarahkan kakitangan premis memasak mengurangkan saiz hidangan bagi mengekalkan kesegaran dan mengelak keracunan.
Selain itu, semalam Prabowo turut membentuk pasukan menteri, termasuk menteri kesihatan dan ketua BGN bagi meningkatkan pengawasan program itu.
Kerajaan memperuntukkan 171 trilion rupiah (RM43.18 bilion) untuk program itu tahun ini, namun BGN hanya mampu membelanjakan 99 trilion rupiah (RM25 bilion), menjelang akhir tahun


Tiada ulasan:
Catat Ulasan