Ribuan rakyat Sudan dalam bahaya besar selepas El-Fasher jatuh kepada RSF
PELABUHAN SUDAN: Ribuan orang awam dipercayai terperangkap dan berdepan bahaya besar di El-Fasher selepas bandar itu jatuh ke tangan pasukan separa tentera (RSF), kata pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) hari ini, sementara Menteri Luar Jerman menyifatkan keadaan di sana sebagai 'amat mengerikan'.
RSF yang berperang menentang tentera Sudan sejak April 2023, menawan El-Fasher Ahad lalu, sekali gus menyingkirkan tentera dari kubu terakhirnya di wilayah Darfur selepas pengepungan selama 18 bulan yang diselubungi kebuluran dan serangan udara.
Sejak kejatuhan bandar itu, timbul laporan mengenai pembunuhan tanpa bicara, keganasan seksual, serangan terhadap petugas bantuan, rompakan dan penculikan, manakala komunikasi masih terputus hampir sepenuhnya.
Mangsa yang terselamat dan tiba di bandar berhampiran, Tawila, memberitahu AFP mengenai pembunuhan beramai-ramai, kanak-kanak ditembak di depan ibu bapa mereka serta orang awam dipukul dan disamun ketika melarikan diri.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan lebih 65,000 penduduk melarikan diri dari El-Fasher sejak Ahad, namun puluhan ribu lagi masih terperangkap.
Sebelum serangan terakhir RSF, dianggarkan 260,000 orang tinggal di bandar itu.
"Sebilangan besar penduduk masih berada dalam bahaya besar dan dihalang oleh RSF serta sekutunya daripada menuju ke kawasan yang lebih selamat," kata MSF.
Menurut pertubuhan itu hanya sekitar 5,000 orang berjaya tiba di Tawila, kira-kira 70 kilometer ke barat.
"Jumlah pelarian yang tiba tidak sepadan, sementara laporan mengenai kekejaman besar-besaran semakin meningkat.
"Di manakah semua mangsa yang sudah pun bertahan berbulan-bulan dalam kebuluran dan keganasan di El-Fasher?
"Jawapan yang paling mungkin, meskipun menakutkan ialah mereka dibunuh, dihalang atau diburu ketika cuba melarikan diri," kata Ketua Kecemasan MSF, Michel Olivier Lacharite.
Dalam pada itu, pada Jumaat, PBB memaklumkan bahawa angka korban akibat serangan RSF ke atas bandar itu mungkin mencecah ratusan orang, manakala sekutu tentera menuduh kumpulan separa tentera berkenaan membunuh lebih 2,000 orang awam.
Makmal Penyelidikan Kemanusiaan Universiti Yale pula pada hari sama menyatakan pembunuhan besar-besaran berkemungkinan masih berterusan di dalam dan sekitar El-Fasher.
Makmal yang menggunakan imej satelit dan maklumat sumber terbuka untuk mendokumentasikan pelanggaran hak asasi manusia semasa konflik, berkata imej baharu yang diperoleh pada Jumaat menunjukkan 'tiada pergerakan besar-besaran' penduduk melarikan diri dari bandar berkenaan, menimbulkan kebimbangan bahawa sebahagian besar penduduk mungkin 'terbunuh, ditawan atau bersembunyi'.
Makmal itu mengenal pasti sekurang-kurangnya 31 gugusan objek yang dipercayai mayat di kawasan kejiranan, perkarangan universiti dan tapak tentera antara Ahad hingga Jumaat.
"Tanda-tanda pembunuhan besar-besaran masih berterusan jelas kelihatan," kata kenyataan makmal itu.
Pada satu persidangan di Bahrain hari ini, Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul menyifatkan keadaan di Sudan sebagai 'benar-benar apokaliptik' dan 'krisis kemanusiaan terbesar di dunia'.
Beliau menegaskan RSF sebelum ini berikrar untuk melindungi orang awam dan mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.
Dalam ucapan pada acara sama, Menteri Luar Britain, Yvette Cooper, turut menyifatkan laporan kekejaman yang berlaku sebagai 'amat mengerikan'.
"Pembunuhan beramai-ramai, hukuman mati tanpa bicara, kebuluran, dan penggunaan rogol secara kejam sebagai senjata perang dengan wanita serta kanak-kanak menanggung beban paling besar dalam krisis kemanusiaan terbesar abad ke-21," katanya.
Khamis lalu, RSF mendakwa menahan beberapa pejuang yang disyaki terbabit dalam kekejaman ketika menawan El-Fasher, namun Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, mempersoalkan komitmen kumpulan itu untuk menyiasat jenayah berkenaan. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan