KENYATAAN MEDIA SEKOLAH UNDANG-UNDANG
RAKYAT (SUUR) - SOLIDARITI UNTUK UIA 2.
Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) melahirkan rasa kesal terhadap tindakan yang dikenakan ke atas dua mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zukifli, Exco MPP UIA yang digantung dua semester (setahun) dan dikenakan amaran keras.
Sebagai sebuah kolektif bebas yang memperjuangan kebebasan berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law), SUUR melihat bahawa tindakan tersebut jelas mempersenda dan memperkotak-katikkan hak warganegara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan undang-undang tertinggi dalam negara ini.
Persoalannya yang harus dijawab, adakah adil tindakan menggantung mahasiswa tersebut hanya kerana mereka, sebagai pemimpin mahasiswa menganjurkan forum berkenaan dengan GST?
Tambahan pula, forum tersebut dilihat adil kerana wakil daripada pihak pemerintah (Barisan Nasional) dan Pembangkang (Parti Keadilan Rakyat) telah dijemput untuk sesi tersebut.
Jelas bahawa forum tersebut berkisar tentang dasar dan polisi dalam negara yang wajib mejadi bahan perbincangan masyarakat, terutama mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang. Jelas forum tersebut bukan bertujuan untuk kempen serta menyebarkan agenda dan kepentingan parti politik masing-masing, malah tidak kelihatan agenda untuk menyatakan simpati atau sokongan kepada mana-mana parti politik.
Selain itu, merujuk kepada kes Muhammad Hilman Idham & Ors v Kerajaan Malaysia & Ors (2011) 9 CLJ 50, SUUR ingin mengingatkan beberapa prinsip-prisip yang penting menyebabkan Seksyen 15 AUKU dahulu terbatal dan ia harus dipertimbangkan oleh pihak UIA :
(a) Sokongan atau bangkangan kepada mana-mana parti politik tidak harus menjadi masalah kepada ketenteraman awam kerana parti politik adalah entiti yang sah dalam menjalankan aktiviti politik. Menteri dan ahli parlimen adalah pemimpin politik yang datang daripada parti politik,
(b) Kebanyakan mahasiswa adalah cukup umur dan boleh menyaman serta disaman. Mereka boleh berkahwin, menjadi ibu bapa serta memikul tanggungjawab tersebut. Mereka boleh mengundi jika mencapai usia 21 tahun, menjadi pengarah dalam syarikat dan memegang jawatan dalam persatuan. Justeru, hujah bahawa mereka tidak boleh menyatakan sokongan atau bangkangan kepada parti politik (Seksyen 15 AUKU) adalah tidak rasional,
(c) Universiti adalah tempat untuk menghasilkan pemikir dan bukan robot. Justeru, pemikiran dan aktiviti mahasiswa harus diraikan.
Oleh itu, SUUR berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan adalah tidak munasabah, tidak rasional dan tidak menurut kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. SUUR tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang jelas membelakangkan Perlembagaan.
SUUR menyeru seluruh pertubuhan mahasiswa supaya bangkit bersolidariti atas nasib yang menimpa dua mahasiswa ini. Kutipan derma harus dijalankan supaya semakan kehakiman (Judicial Review) dapat dibuat di mahkamah. Maka, hukuman ke atas dua mahasiswa ini dapat dicabar.
SUUR juga menggesa ahli akademik dan pakar perlembagaan, seperti Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, pensyarah di UIA untuk bangkit dan menyatakan pendirian tentang hal ini.
Semoga Saudara Hanif Mahpa dan Saudari Afiqah Zulkifli akan terus tabah dan berdiri teguh atas landasan perjuangan.
Solidariti untuk mahasiswa!
DISEDIAKAN OLEH,
SEKOLAH UNDANG-UNDANG RAKYAT (SUUR)
Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) merupakan satu kolektif bebas yang bertindak bagi memberi kesedaran serta pendidikan undang-undang secara percuma kepada masyarakat akar umbi. SUUR ditubuhkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat sivil tentang Perlembagaan serta undang-undang yang berkait rapat dengan masyarakat sekeliling. SUUR diasaskan oleh Khairul Naim Rafidi, kini menuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan undang-undang.
-------------------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan