Shahril perlu letak jawatan – Khairul Anuar
KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli mendesak Penasihat Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan agar meletakkan jawatan dengan segera kerana sudah tidak dipercayai.
Ini susulan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa masih ada perkara yang Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob belum cukup percaya untuk berkongsi maklumat dengan Shahril, yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia, berhubung perjanjian yang ditandatangani PM dengan Perikatan Nasional (PN) sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri.
Khairul Anuar berkata, adalah lebih baik gaji besar yang diterima Shahril diagihkan untuk membantu rakyat yang susah.
“Shahril sebenarnya secara tidak langsung telah mendedahkan kepada rakyat bahawa beliau tidak dipercayai sepenuhnya oleh Perdana Menteri. Sebab itulah ada perkara yang dirahsiakan darinya. Dari awal lagi ada persoalan mengenai siapa sebenarnya ‘boss’ Shahril.
“Oleh kerana telah jelas Shahril tidak cukup dipercayai sehingga tidak diberikan maklumat penuh, rakyat boleh persoalkan adakah Shahril masih boleh berfungsi dengan berkesan di Pejabat Perdana Menteri. Atau adakah dia akan menjadi ‘trojan horse’ yang merosakkan kredibiliti Ismail Sabri yang setakat ini belum tercalar?” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini Shahril Hamdan menafikan dakwaan terdapat perjanjian antara Ismail Sabri dengan PN untuk melantik timbalan perdana menteri sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri.
Shahril, berkata, jika benar perjanjian itu wujud, mengapa baru sekarang ia dibangkitkan oleh sesetengah pihak ketika ini.
Shahril juga mendakwa pelantikan jawatan timbalan perdana menteri tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak, termasuk Pas dalam PN.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar menyarankan agar Shahril lebih baik berdiam sekiranya tidak pernah terlibat dan tidak pernah dilibatkan dalam proses pembentukan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan