Permohonan maaf dan kepentingan politik Sanusi
PERMOHONAN maaf Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya awal bulan ini akan membawa hasil positif, kata pakar politik.
Mereka berkata permohonan maaf itu akan membuka jalan untuk kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan yang lebih baik.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata permohonan maaf secara terbuka Sanusi kepada Anwar sedikit sebanyak menyelesaikan pertikaian kerajaan negeri Kedah dengan kerajaan persekutuan.
“PAS bukanlah sebuah negeri yang boleh berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan pusat, permohonan maaf ini sedikit sebanyak membuka ruang yang lebih baik antara kedua-duanya,” katanya.
Ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri Madani 2024 peringkat negeri di Tasik Darulaman, Sanusi berkata beliau adalah manusia biasa yang tidak maksum dan permohonan maaf itu dibuat bagi pihak dirinya dan kerajaan negeri selama berkhidmat sebagai menteri besar dan atas kapasiti politik.
Hisomudin berkata, permohonan maaf daripada Sanusi membolehkannya menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan Anwar berharap agar hasratnya untuk negeri dimakbulkan.
“Impak langsungnya dapat dilihat Sanusi akan berunding untuk memenuhi ‘wishlist’ yang beliau berikan semasa pertemuan terakhir dengan Anwar.
“Harapan besar beliau ialah semua projek pembangunan mendapat lampu hijau daripada Putrajaya. Jika berjaya, pembangunan di Kedah dapat direalisasikan di bawah Sanusi.
“Ini akan memberi kelebihan kepada beliau dan PAS, dan berkemungkinan kekal (sebagai menteri besar Kedah) untuk penggal akan datang,” katanya.
Hisomudin bagaimanapun berkata masih terdapat masalah kepada Sanusi kerana Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memegang jawatan pengerusi bersama Majlis Tindakan Pembangunan Kedah.
“Diharap Anwar mengarahkan menterinya bersetuju mengadakan mesyuarat majlis tindakan pembangunan negeri supaya masalah di Kedah dapat diselesaikan,” katanya.
Sementara itu dalam konteks hubungan PAS dan Pakatan Harapan (PH), Hisomudin berkata beliau tidak melihat sebarang perubahan yang boleh diramal sekiranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak membetulkan isu dengan Anwar atau gabungannya.
Dalam aspek ini sikap PAS amat pragmatik untuk mencapai matlamat mereka, kata Hisomudin.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar turut berpandangan sama dengan Hisomudin dan berkata permohonan maaf terbuka Sanusi sekurang-kurangnya meningkatkan hubungan Kedah-Putrajaya.
“Peningkatan dalam hubungan persekutuan-negeri boleh membawa manfaat ekonomi khususnya kepada negeri ini,” katanya.
Penolong profesor sains politik itu merasakan ia juga dapat meredakan keresahan antara dua gabungan politik yang bertelagah itu.
“Dari segi politik ia boleh meredakan ketegangan bukan sahaja antara kerajaan pusat dan negeri, malah antara PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Persekitaran yang lebih baik seperti itu boleh membuatkan kedua-dua pihak memberi tumpuan kepada isu-isu yang melibatkan rakyat dan menanganinya bersama-sama,” katanya.
Memperkecilkan permohonan maaf
Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi di Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya pula berkata, tidak semua pemimpin negeri PN akan berkongsi sentimen yang sama seperti Sanusi.
“Keadaan itu mungkin tidak sama untuk semua. Mungkin Perlis, Kelantan dan juga Kedah mungkin berkongsi perasaan yang sama tetapi Terengganu mungkin memilih untuk tidak melakukannya.
“Mungkin ada yang masih tidak boleh menerima kepimpinan Anwar dan tidak melihat beliau sebagai pemimpin yang baik untuk negara,” katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden memperkecilkan permohonan maaf itu dengan mendakwa ia biasa dilakukan pada bulan mulia dengan niat yang baik.
“Sanuni seorang yang berhati besar kerana dia meminta maaf.
“Permohonan maaf beliau tidak memberi sebarang kesan kepada hubungan negeri-persekutuan.
“Kerajaan persekutuan perlu menjaga negeri-negeri dalam apa jua keadaan. Jadi, jika dia (Sanusi) meminta maaf, maka itu bagus,” kata ahli Parlimen Alor Star itu. – 19 Mei, 2024.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan