Tidak perlu cadangan gencatan senjata baharu di Gaza - Hamas
KAHERAH: Hamas, berkata tiada keperluan untuk cadangan gencatan senjata baharu bagi Gaza dan tekanan harus diberikan kepada Israel untuk bersetuju dengan rancangan Amerika Syarikat (AS) yang sudah diterima kumpulan pejuang Islam itu.
AS dijangka membentangkan cadangan gencatan senjata baharu yang bertujuan memecahkan kebuntuan antara Hamas dan Israel.
Dalam satu kenyataan, Hamas berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berusaha untuk menggagalkan perjanjian dengan menegaskan yang Israel tidak akan menarik diri dari koridor Philadelphi di selatan Gaza.
"Kami memberi amaran supaya tidak terjerat dalam perangkap dan helah Netanyahu kerana beliau menggunakan rundingan sebagai alasan untuk melanjutkan pencerobohan terhadap rakyat kami," kata kenyataan itu.
Pegawai kanan Hamas, Izzat Al Risheq memberitahu Reuters pada Rabu bahawa kumpulan itu akan menangani cadangan baharu yang 'memenuhi tuntutan penentangan dan tuntutan rakyat kita', tanpa memberikan butiran khusus.
Hamas berkata, ia menerima cadangan yang dikemukakan AS pada 2 Julai lalu dan tidak ada keperluan untuk cadangan baharu, serta menuduh Netanyahu cuba menggagalkan perjanjian.
Sementara itu, Rumah Putih sedang berusaha untuk mengemukakan cadangan baharu bagi gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan oleh Hamas dalam beberapa hari akan datang, kata dua pegawai AS, dua sumber keselamatan Mesir dan seorang pegawai yang mengetahui perkara itu, kepada Reuters.
Cadangan baharu itu bertujuan untuk menyelesaikan kebuntuan selama berbulan-bulan dalam rundingan yang diketengahkan oleh AS, Qatar dan Mesir bagi mendapatkan gencatan senjata.
Sebahagian besar perjanjian telah dipersetujui, kata seorang pegawai kanan pentadbiran Biden, tetapi perunding masih cuba menyelesaikan penyelesaian kepada dua halangan utama.
Ia adalah tuntutan Israel untuk mengekalkan pasukan di koridor Philadelphi, zon penampan di selatan Gaza bersempadan dengan Mesir, dan individu tertentu yang akan dimasukkan dalam pertukaran tebusan Hamas dan tahanan Palestin di Israel.
Pegawai pentadbiran berkata pembunuhan enam tebusan oleh Hamas, yang mayatnya dikembalikan ke Israel pada hujung minggu, merumitkan lagi usaha itu.
Ketua perunding AS, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns, mengetuai kumpulan kecil pegawai kanan AS yang mengusahakan deraf itu termasuk penyelaras Rumah Putih untuk Timur Tengah Brett McGurk dan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
Pada rundingan di Qatar pada Isnin, delegasi Israel yang diketuai oleh ketua Mossad, David Barnea, memberitahu pengantara bahawa Israel bersedia untuk mengundurkan tenteranya dari koridor selepas fasa 42 hari pertama gencatan senjata.
Namun, beberapa jam kemudian, Netanyahu mengadakan sidang akhbar di Baitulmaqdis dan menegaskan bahawa Israel mengekalkan kawalan koridor Philadelphi.
Netanyahu pada Rabu mengulangi penolakannya secara terang-terangan terhadap penarikan diri dari koridor itu dalam fasa pertama , sebaliknya Israel hanya akan bersetuju dengan gencatan senjata kekal jika ada jaminan koridor itu tidak digunakan sebagai laluan untuk menyeludup senjata dan bekalan ke Gaza untuk Hamas.
"Ini telah meletakkan pihak pengantara dalam kedudukan yang sukar. Jika Israel kekal di koridor Philadelphi, Mesir mahupun Hamas tidak akan bersetuju dengan sebarang perjanjian," kata pegawai yang mengetahui perkara itu. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan