Warga Jordan bunuh 3 pengawal Israel ditembak mati
PALESTIN: Seorang pemandu trak menembak mati tiga pengawal Israel di satu laluan sempadan antara Tebing Barat yang diduduki dan Jordan semalam sebelum berjaya 'dihapuskan', kata tentera Israel.
Kementerian Dalam Negeri Jordan mengenal pasti penembak itu sebagai warganegara Jordan, Maher Diab Hussein al-Jazi, berdasarkan siasatan awal pihaknya.
Serangan yang jarang berlaku di laluan Jambatan Allenby itu berlaku ketika peningkatan keganasan di Gaza dan Tebing Barat dengan serbuan besar-besaran oleh Israel yang kini sudah memasuki bulan ke-12 di Gaza.
Tentera Israel berkata 'seorang pengganas' tiba di kawasan laluan itu, yang juga dikenali sebagai Jambatan Raja Hussein, dengan sebuah trak dari Jordan.
Dalam satu kenyataan, tentera Zionis berkata pemandu berkenaan keluar daripada trak sebelum melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan yang bertugas di jambatan.
Tentera memberitahu AFP bahawa tiga warga Israel yang bekerja sebagai 'pengawal keselamatan' maut dalam kes tembakan itu, sambil menambah bahawa mereka bukan anggota tentera atau polis.
Menurut pihak tentera Israel, penyerang itu kemudian ditembak mati di lokasi.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengutuk penyerang sebagai 'pengganas keji' yang dipengaruhi oleh 'ideologi pembunuh' dan mendakwa ia didorong oleh Iran.
Hamas pula memuji serangan itu tetapi tidak mengaku bertanggungjawab, sambil menambah bahawa ia 'mengukuhkan penolakan rakyat Arab terhadap (pendudukan) Israel, jenayahnya dan cita-citanya di Palestin dan Jordan'.
Laluan berkenaan, yang terletak di Lembah Jordan, adalah satu-satunya pintu masuk antarabangsa bagi rakyat Palestin dari Tebing Barat dan tidak memerlukan mereka memasuki Israel yang sudah menduduki wilayah itu sejak 1967.
Keganasan di Tebing Barat meningkat seiring dengan perang di Gaza yang bermula selepas Palestin menyerang Israel pada 7 Oktober.
Sejak 7 Oktober, tentera atau peneroka Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 662 rakyat Palestin di Tebing Barat, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Sekurang-kurangnya 23 warga Israel, termasuk anggota pasukan keselamatan, terbunuh dalam serangan Palestin dalam tempoh yang sama, kata pegawai Israel.
Pada Ahad, Israel menggempur Gaza dengan serangan udara dan tembakan ketika potensi semakin malap untuk gencatan senjata, manakala pada sebelah malam tentera berkata dua roket ditembak dari utara Gaza menuju ke kawasan Ashkelon.
Satu berjaya dipintas manakala yang lain jatuh dari pantai bandar Ashkelon dan agensi pertahanan awam Gaza berkata kira-kira 12 orang terbunuh dalam serangan udara Israel pada Ahad, termasuk lima di kem pelarian Jabalia.
Tentera Israel berkata ia telah menyerang sekitar '25 sasaran Hamas' di seluruh Gaza sepanjang sehari lalu. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan