343 juta orang di 74 negara hadapi 'Ketidakamanan Makanan Akut' - Amaran PBB
LONDON: Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menggesa dana sebanyak AS$16.9 bilion (RM75.50 bilion) untuk menangani ketidakamanan makanan global yang kini menjejaskan 343 juta orang di 74 negara, menurut laporan Agensi Anadolu (AA).
Dalam satu kenyataan, WFP memberi amaran bahawa kelaparan kini menghampiri tahap yang terakhir dilihat semasa krisis makanan global akibat pandemik.
Agensi PBB itu melancarkan Global Outlook 2025, menyeru dana AS$16.9 bilion (RM75.50 bilion) bagi menangani keperluan makanan global dan jurang ketara antara keperluan serta sumber yang tersedia.
"Laporan utama WFP, Global Outlook 2025, yang dilancarkan hari ini menunjukkan bahawa 343 juta orang di 74 negara mengalami ketidakamanan makanan akut, meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu dan hampir menyamai rekod semasa pandemik," menurut kenyataan WFP.
Merujuk laporan itu, WFP turut menekankan bahawa kira-kira 1.9 juta orang berada di ambang kebuluran.
"Rantaian krisis global yang dipacu oleh konflik yang semakin memuncak dan bertindih, kejadian iklim ekstrem serta kejutan ekonomi telah membawa kelaparan ke tahap rekod, mencetuskan permintaan yang tidak berkesudahan untuk bantuan kemanusiaan."
Namun, agensi itu memaklumkan bahawa kekurangan dana pada 2024 memaksanya untuk mengurangkan aktiviti, sering kali meninggalkan golongan yang paling terjejas tanpa bantuan.
WFP juga menambah bahawa jumlah individu yang berdepan kelaparan kritikal, khususnya di Gaza, Sudan, serta bahagian tertentu di Sudan Selatan, Haiti dan Mali, telah mencapai tahap yang sangat membimbangkan.
"Keperluan kemanusiaan global semakin meningkat, didorong oleh konflik yang dahsyat, bencana iklim yang semakin kerap dan pergolakan ekonomi yang meluas. Namun, dana tidak mampu menyaingi keperluan ini," kata Pengarah Eksekutif WFP Cindy McCain.
Dana AS$16.9 bilion (RM75.50 bilion) yang diperlukan WFP untuk membantu 123 juta orang paling terjejas di dunia pada 2025 adalah hampir sama dengan apa yang dibelanjakan dunia untuk kopi dalam masa dua minggu sahaja, menurut kenyataan itu. - BERNAMA-AA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan