14,000 bayi berisiko maut dalam tempoh 48 jam di Gaza
BAITULMAQDIS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beri amaran dasar 'kebuluran sebagai senjata perang' Israel menyebabkan 14,000 bayi berisiko maut dalam tempoh 48 jam di Gaza.
Pihak berkuasa di Gaza pula mendakwa dasar Israel itu sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 326 nyawa rakyat Palestin akibat kebuluran sejak serangan tanpa henti dimulakan 2 Mac lalu.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 55 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara terkini Israel di Gaza semalaman, menurut petugas perubatan tempatan.
Pendedahan PBB itu turut mencetuskan tekanan antarabangsa supaya operasi ketenteraan dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa sekatan di Gaza.
Perang yang memasuki bulan ke-20 itu menyebabkan Gaza musnah teruk dan penduduknya berdepan krisis kebuluran yang semakin meruncing, dengan terpaksa berpindah randah mengikut arahan tentera Israel.
Hubungan Israel dengan sebahagian besar negara dunia turut terjejas, termasuk dengan sekutu paling rapatnya, Amerika Syarikat (AS), yang kini dilihat mula berbelah bahagi.
PBB memaklumkan, masih sukar membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza walaupun Israel melonggarkan sekatannya yang berkuat kuasa selama 11 minggu bermula kelmarin.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata Israel mengarahkan pihaknya memunggah bekalan di lintasan Kerem Shalom dan memuatkannya semula selepas diberi akses dari dalam Gaza.
Beliau berkata, empat trak membawa makanan bayi sudah diturunkan di bahagian sempadan Palestin kelmarin, manakala beberapa puluhan trak membawa tepung, ubat-ubatan, bekalan pemakanan dan barangan keperluan asas berjaya memasuki Gaza semalam.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa 93 trak bantuan PBB sudah memasuki Gaza melalui Kerem Shalom selepas melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat.
Ketua angkatan tentera Israel, dalam lawatannya ke Gaza, berkata operasi ketenteraan terhadap Hamas akan diperluaskan, kawasan tambahan akan ditawan dan infrastruktur keganasan akan dibersihkan serta dimusnahkan sehingga Hamas ditewaskan.
Kelmarin, tentera Israel memberi amaran kepada penduduk di bandar Khan Younis supaya berpindah ke kawasan pantai sebagai persediaan untuk serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Israel mendakwa Hamas menggunakan bangunan awam sebagai perlindungan, bagaimanapun Hamas menafikan tuduhan berkenaan.
Menurut petugas perubatan di Gaza, lebih 500 orang terbunuh dalam tempoh sembilan hari kebelakangan ini ketika kempen ketenteraan Israel semakin sengit.
Krisis kebuluran di Gaza semakin parah sejak Israel mengenakan sekatan terhadap bekalan makanan dan barangan keperluan pada 2 Mac lalu.
PBB memaklumkan sekurang-kurangnya 500 trak membawa bantuan dan barangan komersial perlu memasuki Gaza setiap hari bagi meredakan krisis kemanusiaan berkenaan.
Louise Wateridge daripada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, bekalan makanan semakin berkurangan.
"Semuanya kosong. Gudang, pusat agihan sudah kosong selama berminggu-minggu.
"Bekalan makanan yang disimpan dalam sebuah gudang di Jordan untuk 200,000 orang boleh dihantar ke Gaza dalam hanya beberapa jam," katanya.
Dalam pada itu, Israel mendakwa pihaknya tetap bertegas boleh membebaskan baki tebusan dan menghancurkan Hamas melalui tindakan ketenteraan yang lebih agresif dalam masa terdekat.
Hamas pula menyatakan bahawa mereka bersedia membebaskan tebusan dengan syarat perang ditamatkan dan tahanan Palestin di penjara Israel dibebaskan. – REUTERS


1 ulasan:
tak ada apa yg boleh dilakukan... kecuali perang besar besaran. seluruh dunia hala senapang ke israel... khalas
Catat Ulasan