Pelampau Israel serang penduduk Palestin Baitulmaqdis
BAITULMAQDIS: Satu perarakan besar di Baitulmaqdis bagi memperingati penguasaan Israel ke atas timur kota itu pada perang 1967 semalam bertukar huru-hara apabila pelampau Yahudi menyerang penduduk Palestin.
Perarakan tahunan yang dikenali sebagai 'Flag March' itu menarik puluhan ribu peserta yang melaungkan slogan, menari dan mengibarkan bendera Israel.
Keadaan bertambah gawat selepas selepas Menteri Keselamatan Nasional sayap kanan, Itamar Ben Gvir, melawat kawasan Masjid Al-Aqsa, lokasi panas ketegangan Israel-Palestin.
Keganasan tercetus di Kota Lama Baitulmaqdis Timur apabila peserta perarakan, kebanyakannya remaja Israel dari penempatan haram di Tebing Barat, mengganggu peniaga Palestin yang belum menutup perniagaan.
Mereka kemudian menyasarkan aktivis Israel berhaluan kiri dan wartawan selain penduduk Palestin di Baitulmaqdis.
Slogan seperti 'Kematian kepada orang Arab' dilaungkan, dan saksi Reuters melaporkan seorang wanita Palestin serta wartawan diludah oleh sekumpulan remaja Israel.
Polis Israel yang berada berhampiran tidak bertindak dan tiada tangkapan dilaporkan setakat petang semalam.
Seorang pegawai polis berkata peserta muda tidak boleh ditahan kerana masih bawah umur.
Ketua pembangkang berhaluan kiri, Yair Golan, menyifatkan kes itu sebagai 'mengejutkan' dan berkata ia bukan cinta kepada Baitulmaqdis, tetapi 'membawa mesej kebencian, perkauman dan sikap pembuli'.
"Kita akan mempertahankan Baitulmaqdis sebagai kota yang bersatu, utuh dan di bawah kedaulatan Israel," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan di Baitulmaqdis Timur semalam.
Sementara itu, Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh, yang berpangkalan di Tebing Barat, mengecam perarakan itu serta lawatan Ben Gvir ke kawasan Masjid Al-Aqsa.
"Perang berterusan Israel di Gaza, pencerobohan berulang ke kawasan Masjid Al-Aqsa dan tindakan provokatif seperti mengibarkan bendera Israel di Baitulmaqdis yang diduduki mengancam kestabilan seluruh rantau," katanya dalam satu kenyataan.
Pertempuran tercetus sepanjang hari apabila aktivis Israel berhaluan kiri cuba mengiringi rakyat Palestin menjauhi kumpulan pelampau muda Yahudi berhaluan kanan mengugut orang yang lalu-lalang, menurut saksi.
Wartawan membuat liputan perarakan itu juga diganggu secara berterusan dan ada yang diserang secara fizikal, kata saksi Reuters.
Terdahulu, Ben Gvir melawat kawasan Masjid Al-Aqsa di Kota Lama yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Temple Mount sementara umat Islam sebagai Al-Haram Al-Sharif (Tanah Suci), iaitu lokasi ketiga paling suci dalam Islam.
Dalam sebuah video yang dirakam di kawasan tinggi itu, Ben Gvir menyatakan kawasan tersebut 'dibanjiri' orang Yahudi.
Mengikut perjanjian lama berdekad-dekad, kawasan itu ditadbir oleh wakaf Islam Jordan. Orang Yahudi dibenarkan melawat tetapi tidak dibenarkan bersembahyang di situ.
Ben Gvir, yang lawatannya dikecam oleh Pihak Berkuasa Palestin dan Jordan, bersama beberapa pihak pelampau kanan lain di Israel, sekian lama mendesak orang Yahudi dibenarkan beribadat di kawasan itu.
Perarakan 'Flag March' tahun ini berlangsung ketika perang di Gaza memasuki bulan ke-20, di samping operasi ketenteraan Israel yang semakin meningkat terhadap pejuang Palestin di Tebing Barat.
Baitulmaqdis turut menyaksikan peningkatan serangan oleh peneroka Yahudi ke atas penduduk Palestin. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan