Kebakaran hutan, tanah: 2 wilayah di Sumatera Barat isytihar darurat
JAKARTA: Wilayah Solok dan Limapuluh Kota di Sumatera Barat, Indonesia, mengisytiharkan status darurat akibat kebakaran hutan serta tanah.
Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Sumatera Barat, Ilham Wahab, berkata ia susulan peningkatan ketara titik panas sepanjang musim kemarau yang sedang berlaku.
"Di wilayah Solok saja, kebakaran hutan dan tanah berlaku di kesemua 14 daerah," katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita Xinhua, hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman menggunakan helikopter masih belum dijalankan kerana Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan kini memberi keutamaan kepada usaha memadam kebakaran di Riau serta Sumatera Selatan yang dianggap lebih kritikal.
Sementara itu Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Limapuluh Kota, Rahmadinol, berkata bentuk muka bumi yang mencabar dan kekurangan peralatan menyukarkan usaha memadam kebakaran terbabit.
"Kebanyakan lokasi kebakaran di Limapuluh Kota mempunyai cerun antara 70 hingga 90 darjah, yang menjadikan usaha pemadaman api amat mencabar," katanya.
Menurut Jabatan Perhutanan Sumatera Barat, sekurang-kurang 64 insiden kebakaran hutan dan tanah direkodkan di sembilan wilayah serta bandar sejak awal tahun ini hingga 19 Julai lalu, membabitkan keluasan berjumlah 140.87 hektar.


1 ulasan:
Hutan konkrit semua tempat, kemajuan terbaik untuk orang kita, tapi lupa kemajuan ini tidak bawa air udara bersih kah kah kah kemajuan perlu seimbang bukan berat sebelah macam zaman penjajah dahulu, ini kemudiannya diteruskan oleh parti ciptaan penjajah United Gerombolan Sdn Bhd, menjarah negara sehingga sekarang atas nama agama bangsa negara ketuanan amin kah kah kah sampai masa kena beli oksigen dalam tangki woit
Catat Ulasan