Indonesia tawar 20,000 anggota tentera pengaman pasca perang ke Gaza
NEW YORK: Pemimpin Indonesia menawarkan untuk menghantar sekurang-kurangnya 20,000 anggota tentera sebagai pasukan pengaman ke Gaza bagi mempertahankan sebarang perjanjian damai pada masa hadapan.
Ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata negara dengan majoriti penduduk Islam terbesar di dunia itu mahukan keamanan yang membuktikan 'kuat tidak bermakna betul'.
"Kami percaya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kami akan terus berkhidmat di tempat yang memerlukan penjaga keamanan – bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi dengan kehadiran fizikal di lapangan.
"Sekiranya dan apabila Majlis Keselamatan PBB (UNSC) serta UNGA membuat keputusan, Indonesia bersedia menghantar 20,000 atau lebih anggota kami untuk membantu menjamin keamanan di Gaza," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa Indonesia bersedia menghantar pasukan pengaman ke lokasi lain termasuk Ukraine, Sudan dan Libya.
Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Arab sudah berbincang selama berbulan-bulan berkenaan pelan pasca perang di Gaza, namun setakat ini masih belum membuahkan hasil.
Gaza musnah akibat serangan berterusan oleh Israel selama dua tahun sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Hamas, dengan Israel berulang kali menuntut pemusnahan Hamas.
Serangan terbaharu menyasarkan penguasaan ke atas pusat bandar utama Gaza, namun cadangan terdahulu mencadangkan kuasa asing mengambil alih keselamatan wilayah itu.
Perancis dan Arab Saudi, menerusi satu resolusi yang diterima oleh majoriti besar UNGA, menggesa misi antarabangsa sementara diwujudkan bagi menstabilkan Gaza sebagai sebahagian daripada pelan gencatan senjata.
Dalam pada itu, pasukan Israel membunuh sekurang-kurangnya 15 penduduk Palestin pada Rabu selepas mengebom beberapa sasaran termasuk rumah dan khemah di Gaza, menurut jurucakap pertahanan awam wilayah itu kepada AFP.
Israel melancarkan serangan udara dan darat besar-besaran ke atas Bandar Gaza, memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri dari pusat bandar terbesar wilayah berkenaan.
Sebahagian yang masih bertahan berlindung di pusat bandar ketika serangan udara membedil mereka, kata jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal.
"Sekurang-kurangnya tujuh terkorban, kebanyakannya kanak-kanak, selain sejumlah besar cedera akibat tiga serangan udara ke atas gudang Majlis Perbandaran Gaza dan khemah pelarian di Pasar Firas," katanya kepada AFP.
Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah, dan bulan lalu sebuah badan disokong PBB secara rasmi mengisytiharkan berlakunya kebuluran di sebahagian wilayah berkenaan. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan