Bantah 'Syaitan Besar' tebus imej Malaysia, KPN dikritik di sebalik usaha halang perhimpunan anti-Trump
Daripada dasar menggalakkan penempatan haram Yahudi di tanah Palestin yang dirampas sehinggalah pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, Donald Trump terus menjadi sasaran kecaman rakyat Malaysia, di sebalik gesaan Ketua Polis Negara Khalid Ismail supaya tidak "mencemarkan imej negara yang aman dan berdaulat" dengan tidak mengadakan perhimpunan membantah kehadiran presiden Amerika Syarikat itu.
"Tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman, berdaulat dan matang dalam menguruskan acara besar di peringkat antarabangsa," kata Khalid.
Semalam, Khalid menasihatkan pihak yang merancang mengadakan protes pada 26 Oktober membantah jemputan kepada Trump untuk hadir ke Sidang Kemuncak Asean supaya mengelakkan kawasan KLCC, di mana pihak berkuasa dilihat mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai pergerakan lalu lintas, termasuk sekatan jalan raya yang dilihat sebahagian daripada langkah keselamatan untuk Trump.
Gesaan Khalid itu segera dihujani kritikan di media sosial, di mana ramai bertegas kawasan Kedutaan AS sebagai lokasi paling sesuai untuk mengadakan bantahan terhadap Trump.
Ramai turut mengulangi seruan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik balik jemputan kepada Trump, yang mereka anggap sebagai "Syaitan Besar".
Penyokong himpunan Trump berkata menentang kehadiran beliau di Malaysia adalah tindakan patriotik sebenar yang menebus imej Malaysia.
"Jemput ketua pembunuh pula tidak merosakkan imej negara," soal Muhd Tarmizi.
"Imej negara? Berhimpun kerana tolak pemimpin negara yang paling korup boleh merosakkan imej negara?" tulis Mirza Rafique.
Peguam terkenal Rafique Rashid mengingatkan Khalid bahawa Perlembagaan Persekutuan dan hak rakyat untuk berhimpun "jauh lebih tinggi dan mulia dari Trump".
Katanya, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat sentiasa mempertahankan golongan tertindas.
"Malaysia tidak akan sokong penjenayah perang. Malaysia tidak akan sokong penaja genosida. Malaysia tidak akan bersetuju dengan kuasa veto PBB. Itu imej Malaysia.
"Beri karpet merah pada Trump akan calar Malaysia. Di Amerika sendiri Trump ditentang. Malaysia pula mahu tunduk layu layan Trump?" katanya.
Trump_rally_poster3Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi menerbitkan senarai 23 jenayah yang dilakukan oleh Trump, sambil melabelkannya "Syaitan Besar".
Ia termasuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pelbagai veto menyekat resolusi PBB menggesa gencatan senjata di Gaza, dan sokongannya terhadap pembinaan penempatan haram Yahudi di tanah milik rakyat Palestin.
Beliau berkata Trump turul menormalisasikan Islamofobia, di samping pelbagai tindakan menyerang umat Islam di AS.
"Puluhan ribu darah umat Islam mengalir atas tangan Donald Trump," tambahnya.
Penyokong Palestin berikrar meneruskan rancangan mengadakan himpunan berhampiran Ampang Park pada 26 Oktober, meskipun berdepan pelbagai halangan.
"Kami akan memastikan segala atur cara berjalan dengan lancar. Sama ada akan berlaku kekerasan atau sekatan terhadap masyarakat awam, itu bergantung kepada bagaimana pihak berkuasa bertindak pada hari itu," aktivis Sharifah Haura Uzzahra Syed Abdul Rahman, jurucakap Sekretariat Bantah Trump yang menghimpunkan pelbagai kumpulan membantah jemputan kepada presiden AS itu, memberitahu MalaysiaNow baru-baru ini.
Sebelum ini, beberapa protes membantah Israel mengundang tindakan keras polis menghalang peserta behimpun di hadapan Kedutaan AS, mencetuskan kecaman orang ramai dan ledakan kritikan di media sosial.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan