Kazakhstan sertai Perjanjian Abraham ketika Trump giat dorong keamanan Asia Barat
WASHINGTON: Kazakhstan mengumumkan akan menyertai Perjanjian Abraham antara Israel dan negara-negara Islam utama, dalam langkah simbolik yang dilihat menyokong usaha Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengukuhkan keamanan di Asia Barat.
Republik Asia Tengah itu telah mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel selama beberapa dekad — berbeza dengan empat negara Arab yang menormalkan hubungan dengan Israel di bawah perjanjian asal yang ditandatangani semasa penggal pertama Trump lalu.
Namun, ketika Trump berusaha mengukuhkan perjanjian gencatan senjata Gaza yang rapuh, Washington kini berusaha mendapatkan sokongan serantau yang lebih luas bagi inisiatif keamanannya.
Pengumuman itu dibuat ketika Trump menerima kunjungan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev bersama pemimpin empat lagi republik Asia Tengah — Uzbekistan, Tajikistan, Turkmenistan dan Kyrgyzstan — di Rumah Putih.
Selepas ketibaan pemimpin itu, Trump menulis di platform Truth Social bahawa beliau, Tokayev dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengadakan "perbualan yang hebat."
Trump berkata, satu majlis pemeteraian rasmi akan diumumkan tidak lama lagi, sambil menambah bahawa "banyak lagi negara sedang berusaha menyertai kelab kuasa ini."
Kazakhstan dalam satu kenyataan berkata penyertaannya adalah satu langkah semula jadi dan sejajar dengan dasar luar negaranya.
"Penyertaan kami dalam Perjanjian Abraham merupakan kesinambungan semula jadi dan logik kepada dasar luar Kazakhstan yang berteraskan dialog, saling menghormati dan kestabilan serantau," katanya.
Utusan khas AS, Steve Witkoff sebelum ini memberi bayangan bahawa sebuah negara baharu akan menyertai perjanjian itu, mencetuskan spekulasi awal — yang kemudian dinafikan — bahawa ia mungkin Arab Saudi.
Kazakhstan kini menjadi negara pertama menyertai sejak 2020, apabila Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrai, dan Maghribi menormalkan hubungan dengan Israel.
Banyak negara lain bakal menyertai Arab Saudi sebelum ini berbincang dengan AS mengenai kemungkinan menormalkan hubungan dengan Israel — satu langkah bersejarah memandangkan negara itu menempatkan dua lokasi paling suci umat Islam.
Namun, Riyadh menarik diri selepas perang Gaza meletus susulan serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023.
Arab Saudi menegaskan, ia tidak akan menormalkan hubungan selagi tiada kemajuan ke arah penubuhan negara Palestin merdeka, sesuatu yang lama ditentang oleh Netanyahu.
Trump ketika berucap di America Business Forum di Miami kelmarin berkata: "Kini ramai negara sedang menyertai Perjanjian Abraham, dan saya berharap kita akan dapat Arab Saudi tidak lama lagi."
Beliau kemudian bergurau kepada hadirin, termasuk Duta Besar Arab Saudi ke AS, Puteri Reema Bandar Al Saud dengan berkata: "Tapi saya tidak katakan itu...saya tidak katakan."
Perjanjian gencatan senjata yang diusahakan AS di Gaza masih berkuat kuasa sejak 10 Oktober, namun keadaannya kekal tidak stabil, dengan Israel menuduh Hamas melengah-lengahkan pemulangan mayat tebusan.
Israel turut melancarkan beberapa serangan walaupun terdapat gencatan, mendakwa pasukannya diserang dan Hamas belum menunjukkan usaha mencukupi untuk melucutkan senjata.
Witkoff, salah seorang perunding utama, berkata beliau masih optimis perjanjian itu akan bertahan, sambil menambah bahawa mereka kini "sedang melaksanakan proses pelucutan senjata" oleh Hamas.
Hamas pula menegaskan, proses itu hanya akan berlaku sekiranya pasukan keselamatan antarabangsa dikerahkan — seperti yang dicadangkan dalam draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dibentangkan AS minggu ini, kata Witkoff. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan