Ukraine perlu serah Donbas kepada Russia di bawah Pelan Damai 28 Perkara AS
WASHINGTON: Ukraine akan menyerahkan wilayah timur Donbas kepada Russia di bawah Pelan Damai 28 perkara yang disokong oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menurut deraf pelan yang diperoleh AFP.
Kyiv juga dijangka bersetuju mengehadkan saiz tenteranya kepada 600,000 orang tetapi jet pejuang Eropah akan ditempatkan di Poland untuk melindungi Ukraine.
Pada masa sama, tiada anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengumumkan akan mengerahkan tentera pengamannya ke Ukraine.
Sementara itu, Russia akan diterima semula ke dalam kumpulan negara G8 dan diintegrasikan kembali ke dalam ekonomi global di bawah pelan yang menurut pegawai AS masih dianggap sebagai 'deraf dokumen'.
"Presiden (Trump) menyokong pelan ini. Ia pelan yang baik untuk kedua-dua Russia dan Ukraine," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt kepada wartawan.
Menurutnya, Utusan Khas Trump, Steve Witkoff, dan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bekerjasama 'secara senyap' dengan Russia dan Ukraine mengenai pelan itu selama kira-kira sebulan.
Beliau menolak kebimbangan bahawa pelan itu memenuhi banyak tuntutan maksimum Moscow.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata beliau dijangka membincangkan pelan itu dengan Trump 'dalam beberapa hari lagi'.
Beliau menegaskan sebarang perjanjian mesti membawa 'perdamaian bermaruah' dengan 'menghormati kemerdekaan dan kedaulatan negaranya.
Zelensky juga bertemu delegasi Pentagon yang diketuai Setiausaha Tentera Darat AS, Daniel Driscoll di Kyiv.
Antara butiran pelan AS tang merangkumi perkara berkaitan wilayah dan keselamatan Ukraine.
Di bawah dokumen yang diperoleh AFP, Crimea, Lugansk dan Donetsk akan diiktiraf sebagai wilayah 'de facto' Russia termasuk oleh AS.
Kyiv masih menguasai sebahagian Lugansk dan Donetsk yang membentuk jalur perindustrian Donbas di garisan hadapan perang. Crimea pula telah diilhakan oleh Russia pada 2014.
Menurut pelan itu, kawasan yang ditarik balik oleh Ukraine di Donetsk akan dijadikan zon bebas tentera, yang di mana tentera Russia tidak dibenarkan masuk.
Wilayah selatan Kherson dan Zaporizhzhia yang secara salah didakwa diilhakan oleh Russia, akan 'dibekukan sepanjang garis kontak'.
Pelan bagi Donbas, Kherson dan Zaporizhzhia selari dengan tuntutan Moscow sebelum ini.
Loji nuklear Zaporizhzhia milik Ukraine yang telah diduduki tentera Russia sejak Mac 2022, akan diselia oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan elektrik yang dihasilkan akan dikongsi antara Russia dan Ukraine.
Secara keseluruhan, tentera Russia menguasai kira-kira 20 peratus Ukraine, sebahagian besarnya musnah akibat perang bertahun-tahun terutama di timur.
Ukraine sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan mengiktiraf kawalan Russia ke atas tanahnya, tetapi mengakui ia mungkin terpaksa menuntut kembali wilayah itu melalui saluran diplomatik.
Di bawah aspek keselamatan Ukraine, menurut draf dokumen itu, AS menuntut Ukraine itu mengurangkan tenteranya kepada 600,000 orang.
NATO bersetuju untuk tidak menempatkan tentera di Ukraine, sekali gus menafikan harapan Kyiv untuk pasukan pengaman Eropah dan negara itu akan dilarang menyertai NATO di bawah Perlembagaannya sendiri serta statut pakatan itu.
Langkah itu selaras dengan tuntutan Russia sebelum ini yang bertentangan dengan 'garis merah' ditetapkan Ukraine.
Pelan itu juga menyebut Ukraine akan menerima 'jaminan keselamatan yang boleh dipercayai', walaupun butiran khususnya tidak dinyatakan.
Pada masa yang sama, di tengah-tengah skandal rasuah yang semakin berkembang di Ukraine yang menyebabkan dua menteri kehilangan jawatan, Kyiv membuang peruntukan mengenai audit bantuan asing dan menggantikannya dengan 'amnesti penuh', menurut seorang pegawai kanan AS. - AFP


1 ulasan:
orang putih bunuh orang putih, senjata buatan org putih ,last plan damai mat mat putih & yang dah mati x putih kelabu asap kah kah kah manusia stubborn++arrogance!
Catat Ulasan