Kematian akibat ribut tropika cecah 500 di Asia Tenggara, lebih 4 juta terjejas
JAKARTA/BANGKOK: Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat di tiga negara di Asia Tenggara meningkat melebihi 500 orang, menurut pihak berkuasa hari ini, sementara usaha bantuan untuk puluhan ribu penduduk yang dipindahkan diteruskan sepanjang hujung minggu.
Indonesia, Malaysia dan Thailand mengalami kemusnahan berskala besar selepas ribut tropika jarang berlaku terbentuk di Selat Melaka, menyebabkan hujan lebat dan angin kencang selama seminggu.
Jumlah korban dilaporkan seramai 336 di Indonesia, 170 di Thailand dan dua kematian di Malaysia.
Pegawai penyelamat dan bantuan di negara-negara itu sehingga hari ini masih berusaha memperluaskan akses ke banyak kawasan yang dilanda banjir, walaupun paras air mulai surut dan puluhan ribu penduduk telah dipindahkan di ketiga-tiga negara.
Menurut statistik rasmi, lebih empat juta orang terjejas dengan hampir tiga juta di selatan Thailand dan 1.1 juta di barat Indonesia.
Dalam pada itu, di Teluk Bengal, satu siklon di Sri Lanka telah meragut 153 nyawa, manakala 191 lagi dilaporkan hilang dan lebih setengah juta orang terjejas di seluruh negara, menurut pihak berkuasanya.
Di Indonesia, pasukan bantuan dan penyelamat menggunakan helikopter untuk menghantar bantuan kepada penduduk yang sukar diakses menggunakan jalan darat di pulau Sumatera bahagian barat, di mana tiga wilayah teruk dilanda tanah runtuh dan banjir akibat hujan lebat.
Seorang jurugambar Reuters yang menaiki helikopter tentera laut di bandar terpencil Palembayan, Sumatera Barat, menyaksikan kawasan tanah dan rumah ditenggelami banjir.
Apabila helikopter mendarat di padang bola, puluhan penduduk sudah menunggu bantuan makanan.
Terdapat laporan mengenai penduduk mencuri barangan bantuan kerana terdesak di kawasan lain, menurut pegawai semalam.
Statistik rasmi menunjukkan 289 orang masih dilaporkan hilang dan 213,000 orang terpaksa dipindahkan.
Kementerian Kesihatan Awam Thailand pula melaporkan jumlah kematian akibat banjir di selatan Thailand kini 170 orang, meningkat lapan orang berbanding semalam (Sabtu) dengan 102 lagi cedera.
Wilayah Songkhla mencatatkan bilangan korban tertinggi iaitu 131 orang.
Bandar Hat Yai, bandar terbesar di Songkhla, mencatatkan paras 335 milimeter (mm) hujan pada Jumaat, jumlah tertinggi sehari dalam tempoh 300 tahun, susulan beberapa hari hujan lebat berturut-turut.
Di Malaysia, terdapat kira-kira 24,500 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS), menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA).
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menamatkan amaran ribut tropika dan hujan berterusan semalam dengan ramalan cuaca cerah untuk kebanyakan kawasan, berbanding beberapa kawasannya dilanda hujan lebat dan angin kencang minggu lalu.
Kementerian Luar memaklumkan lebih 6,200 rakyat Malaysia telah dipindahkan daripada Thailand.
Hari ini, kementerian mengeluarkan nasihat kepada warganegara Malaysia yang berada di Sumatera Barat, Indonesia supaya mendaftar dengan konsulat tempatan untuk mendapatkan bantuan.
Seorang rakyat Malaysia berusia 30 tahun dilaporkan hilang susulan tanah runtuh di kawasan itu. - REUTERS


1 ulasan:
Tak apalah hari demi hari semuanya berjalan macam biasa, tak kira siapa mati, siapa sengsara kehidupan kita berjalan lancar juga, kalau kena batang hidung sendiri baru faham, setakat bersimpati saja boleh, tak siapa berhenti makan pun, jadi selagi itulah kita makan minum berjalan enjoy de menjoy amin kah kah kah semuanya kehendak Allah SWT. Amin
Catat Ulasan