Peguam isteri Albert Tei beri SPRM tempoh 3 hari keluarkan inventori rampasan
KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili isteri ahli perniagaan, Albert Tei memberi tempoh tiga hari sehingga Rabu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengeluarkan inventori harta yang dirampas ekoran penahanan suaminya, tiga hari lalu.
Rajesh Nagarajan berkata, SPRM turut diberi tempoh yang sama bermula semalam agar mengembalikan segera harta tersebut yang diperoleh ketika serbuan dilakukan di rumah keluarga itu bagi mengelakkan semakan kehakiman difailkan terhadap agensi berkenaan.
“Jika tuntutan tersebut gagal dipatuhi dalam tempoh tiga hari, kami akan mengambil tindakan undang-undang tanpa notis lanjut bagi mendapatkan perintah memaksa senarai rampasan dikeluarkan.
“Semakan kehakiman itu juga bagi mendapatkan perintah pemulangan mandatori harta yang ditahan secara tidak sah serta pengisytiharan ketidakpatuhan dan ketidakperlembagaan prosedur yang dilakukan SPRM,” ujarnya.
Tuntutan tersebut terkandung dalam surat bertarikh semalam (30 November) ditandatangani Rajesh yang dimajukan kepada SPRM melalui Tetuan Raj & Sach selaku firma guaman yang mewakili isteri Albert, Lee Pei Rie.
Dalam surat tersebut, Rajesh mendakwa, pegawai SPRM telah memasuki kediaman keluarga itu secara paksa dan merampas sebuah dekoder sistem kamera litar tertutup (CCTV) manakala kandungan telefon Albert dan keluarganya dipadam tanpa keizinan.
“Tiada senarai rampasan, resit atau dokumentari semasa diberikan. Selain itu seorang pegawai SPRM telah mengacukan senjata api ke arah anak guam sehingga menimbulkan ketakutan dan emosi yang ketara,” demikian menurut surat tersebut.
Albert yang menyerang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhubung pembatalan lesen penerokaan mineralnya, baru-baru ini mendakwa memberikan RM629,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin selepas diyakinkan boleh mendapat kembali wang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah.
Surat itu selanjutnya menyatakan, meskipun tuntutan dibuat di lokasi, pegawai SPRM lalai dan enggan menyediakan rekod bertulis barang yang dirampas.
Dakwanya, keengganan itu merupakan perlanggaran serius terhadap tanggungjawab statutori dan oleh kerana tiada rekod bertulis diberikan, tindakan agensi itu merupakan satu kecurian, bukan rampasan.
Surat itu turut menggariskan bahawa Seksyen 31(1), (3) dan (4) Akta SPRM 2009 antara lain mewajibkan pegawai menyediakan senarai lengkap item yang dirampas dan ditandatangani manakala salinan mesti diberikan serta merta kepada pihak yang hartanya dirampas.
Ujarnya, Seksyen 34 pula menyatakan, sekiranya SPRM mengeluarkan harta dari premis, agensi itu disyaratkan memberi akuan mengenai lokasi harta disimpan, pihak yang menjaganya dan asas penahanan berterusan.
Sehubungan itu, peguam tersebut mengemukakan tuntutan agar inventori rampasan penuh yang ditandatangani dikeluarkan selain menyediakan senarai lengkap item, tarikh dan masa serta butiran pegawai yang menjalankan rampasan.
Selain itu, SPRM perlu mengembalikan secara serta merta item yang tidak mempunyai asas undang-undang untuk terus ditahan.
Surat itu selanjutnya menyatakan, SPRM turut diminta menjelaskan status anak guam sama ada dianggap sebagai saksi, suspek atau sedang dalam siasatan.
Pada 29 November lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari terhadap Albert atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 akta itu. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan