Selasa, 30 Disember 2025

BHASKARAN @ BASI DALAM KENANGAN




BHASKARAN 

@ BASI

 DALAM 

KENANGAN


NOTA : GAMBAR DI PEMAKAMAN
CREAMTORIUM
JALAN KUARI
CHERAS  - JAM 12.00 PM
30 DISEMBER 2025



GAMBAR  DARI FAIL RAKAMAN SEJARAH

DEMO  DI LAPANGAN TERBANG SUBANG
MENOLAK LAWATAN KAKUEI TANAKA 
PERDANA MENTERI JEPUN 
JANUARI 1974

PALING KIRI: BASI
SEBELAH : ISHAM RAIS
SEBELAH: MUHAMAD SALEH
KANAN RAMBUT PANJANG : ADI SATRIA


oleh Hassan Abdul Karim

Apabila kita sudah berumur melebihi 70 tahun, kematian semakin dekat.

Aku bangun tidur pagi hari ini dengan mengucapkan syukur kepada Allah.

Seperti lazimnya aku mencapai telefon bimbitku untuk mengetahui hal dunia.

Dua orang sahabat baikku, Hishamudin Rais dan Adi Satria Ahmad mengirimkan pesan di applikasi whatsapp.

Mereka memberitahuku, bahawa sahabat karib kami yang kami anggap macam adik beradik telah meninggal dunia.

Sahabat kami itu bernama Bhaskaran A/L Subramaniam yang kami panggil BASI telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam 29/12/2025.

Basi mengidap penyakit kanser sejak tahun-tahun terakhir ini.Beliau lahir pada 14/2/1950.

Tidak ramai masyarakat umum yang kenal Basi secara dekat dan peribadi.

Tetapi Timbalan Perdana Menteri Pertama Malaysia sekarang, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenali Basi secara dekat dan peribadi.

Mereka berdua sezaman di kampus Universiti Malaya pada tahun 1972 sebagai aktivis mahasiswa.

Basi adalah pengarang atau penulis akhbar Mahasiswa Negara manakala Ahmad Zahid Hamidi adalah Ketua Pengarang akhbar Mahasiswa Negara yang berpengaruh itu.

Begitu juga Perdana Menteri Malaysia ke-9 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenali Basi secara dekat kerana Basi sahabat baik Kamarazaman Yaakob, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang merupakan abang kandung Ismail Sabri Yaakob.

Ketika Kamarazaman Yaakob ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA pada tahun 1974-1976 maka Basi adalah antara sahabat yang teguh setia terhadap Presiden PMUM itu.

Perjalanan hidup aku dan Basi bertemu bukan sahaja di Universiti Malaya pada tahun 1972 tetapi juga di gelanggang masyarakat di luar kampus.

Pada tahun 1974 aktivis-aktivis mahasiawa terlibat dalam Perjuangan Kaum Setinggan Tasek Utara di Johor Bahru.

Basi antara aktivis mahasiswa yang turun ke Johor Bahru bersama-sama Hishamudin Rais dan Adi Satria Ahmad.

Aku masih ingat pada suatu hari pada awal tahun 1980an, Basi bersama-sama beberapa orang sahabat kami datang ke Johor Bahru.

Basi mencari aku yang sedang mengajar tuisyen secara percuma kepada anak-anak bekas setinggan Tasek Utara di Perumahan Rakyat di Skudai.

Basi menyerahkan kepadaku beberapa naskah buku tulisan Kamarazaman Yaakob yang berjodol: Bersama Anwar Ke Penjara.

Sahabat yang setia dan akrab tidak pudar walaupun jarang berjumpa atau bercakap melalui telefon.

Begitulah antara aku dan Basi.Kami jarang bertemu.

Kali terakhir kami kawan-kawan sezaman di Universiti Malaya bertemu dengan Basi di mana aku turut hadir dalam satu jamuan makan malam secara santai di Kuala Lumpur atas jemputan Hishamudin Rais.

Hari ini kami kehilangan Basi, seorang sahabat setia dalam perjuangan yang sukar dicari ganti.

Pasir Gudang
30hb Disember 2025.

Tiada ulasan: