Selasa, 7 Mei 2024

KEBULURAN DI RAFAH


UNICEF beri amaran 600,000 kanak-kanak berdepan 'malapetaka' di Rafah

NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 600,000 kanak-kanak di Rafah bakal hadapi malapetaka sekali lagi susulan paksaan berpindah oleh Israel.

"Melihatkan kepadatan kanak-kanak di Rafah, UNICEF memberi amaran akan berlaku malapetaka yang lebih teruk bagi kanak-kanak, jika operasi ketenteraan diteruskan.

"Ia akan mengakibatkan kematian orang awam yang sangat tinggi dan beberapa perkhidmatan asas serta infrastruktur yang mereka perlukan untuk terus hidup akan musnah sama sekali," kata badan itu dalam satu kenyataan.

Tambah UNICEF, belia di Gaza kini sudah pun berada di ambang kematian dan jumlah pelarian di Rafah telah meningkat kepada 1.2 juta orang, separuh daripadanya kanak-kanak yang sudah berpindah beberapa kali dan tiada tempat lain untuk dituju.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell, berkata lebih daripada 200 hari peperangan telah menyebabkan kematian yang tidak dapat dibayangkan ke atas kanak-kanak.

"Rafah kini adalah bandar kanak-kanak yang tidak mempunyai tempat selamat untuk pergi di Gaza selepas sebahagian besar mereka kehilangan ibu bapa.

"Saya memberi amaran, operasi ketenteraan berskala besar oleh Israel akan membawa kekacauan dan panik, pada masa di mana fizikal dan mental (kanak-kanak) sudah lemah," katanya.

UNICEF menganggarkan bahawa penduduk Rafah telah meningkat kepada hampir lima kali ganda daripada angka normal iaitu 250,000 penduduk.

Badan antarabangsa itu sekali lagi menggesa gencatan senjata diisytiharkan dan akses selamat untuk pertubuhan kemanusiaan disediakan.

Agensi itu menekankan, terdapat kira-kira 78,000 bayi di bawah umur dua tahun berlindung di bandar itu, bersama-sama 175,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun yang terjejas oleh penyakit berjangkit.

Peperangan paling berdarah di Gaza bermula berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel, mengakibatkan kematian lebih 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kenyataan rasmi Israel.

Nekad untuk memusnahkan Hamas, Israel melakukan serangan balas yang membunuh sekurang-kurangnya 34,735 orang di Gaza termasuk 14,000 kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah kendalian Hamas itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk menghantar tentera darat menentang pejuang Hamas di Rafah tanpa mempedulikan usaha gencatan senjata mahupun kebimbangan disuarakan masyarakat antarabangsa dan kumpulan bantuan. - AFP




TAKTIK BARU

MAKANAN JADI

SENJATA

AMIN

SEMUA MATI

KEBULURAN

KHALAS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Asyik2 bagi amaran zionist x ambik pot kanak2 lapar atau kebuluran