Gencatan senjata Hizbullah-Israel sukar bertahan
BEIRUT: Gencatan senjata antara Hizbullah dengan Israel, yang dipelopori oleh Amerika Syarikat (AS) dan Perancis, memberikan kelegaan sementara kepada konflik yang berlarutan selama lebih setahun, namun kurang diyakini akan berjaya.
Ini kerana ketegangan terbaru akibat pelanggaran perjanjian oleh kedua-dua pihak menimbulkan persoalan sama ada gencatan senjata itu dapat bertahan dalam keadaan yang semakin tidak menentu.
Berdasarkan perjanjian itu, Hizbullah bersetuju untuk berundur ke utara Sungai Litani, manakala Israel perlu menarik balik tenteranya ke selatan Garisan Biru.
Kawasan selatan Lubnan akan diawasi oleh Tentera Lubnan (LAF) bersama Pasukan Pendamai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (UNIFIL).
Langkah itu bertujuan memastikan tiada serangan daripada Hizbullah atau kumpulan bersenjata lain terhadap Israel, dan pada masa yang sama, Israel dilarang melancarkan operasi ketenteraan dalam wilayah Lubnan.
Namun, sejak perjanjian itu berkuat kuasa, kedua-dua pihak telah saling menuduh melanggar syarat-syarat gencatan senjata.
Kejadian terbaru pada 2 Disember menyaksikan Hizbullah melancarkan dua tembakan ke wilayah Shebaa Farms, sebuah kawasan yang dipertikaikan, mendakwa ia sebagai tindak balas terhadap 'pelanggaran berulang' syarat gencatan senjata oleh Israel.
Tentera Israel pula melancarkan serangan udara ke seluruh Lubnan, mendakwa menyasarkan pelancar roket Hizbullah dan membunuh sekurang-kurangnya 10 orang. Serangan itu mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan perjanjian.
Perbuatan itu secara teknikal melanggar Perkara 2 perjanjian, yang melarang serangan ketenteraan dalam wilayah Lubnan," katanya.
Dalam ucapan pertamanya selepas gencatan senjata, Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem, menegaskan komitmen kumpulannya terhadap perjanjian itu.
"Koordinasi antara tentera Lubnan dengan pasukan kami akan berada pada tahap tertinggi," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak menjangkakan sebarang konflik dengan tentera Lubnan.
Namun, serangan balas Hizbullah menunjukkan bahawa kumpulan itu bersedia untuk bertindak terhadap tindakan yang dianggap provokasi dan sejarah membuktikan bahawa Hizbullah tidak mudah berdiam diri terhadap serangan.
Israel pula, walaupun pemimpinnya, terutama Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menyatakan komitmen untuk mematuhi terma gencatan senjata, kenyataan seperti 'kami akan bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran, sama ada kecil atau besar' mencerminkan pendekatan agresif.
Ketua Staf Tentera Israel, Herzi Halevi, turut menegaskan bahawa Israel telah bersedia dengan rancangan ketenteraan untuk menghadapi sebarang ancaman daripada Hizbullah. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan