Titah Adendum: PMX ‘ditekan’, Takiyuddin ditempelak
KUALA LUMPUR — Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak boleh menjawab mengenai kewujudan Titah Adendum melibatkan Najib di Dewan Rakyat bagi menghormati kes mahkamah yang sedang berjalan.
Perdana Menteri berkata, Dewan Rakyat menghalang perbincangan subjudis setelah mahkamah menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar kes rayuan bekas Perdana Menteri itu bersama Menteri Dalam Negeri dan enam yang lain.
“Saya tertakluk (kepada undang-undang), saya boleh jawab (tetapi) bagi saya masa selepas mahkamah (putuskan), saya akan datang sini (Dewan Rakyat) untuk jawab.
“Sejak bila seorang Perdana Menteri boleh mengulas (keputusan) Lembaga Pengampunan (dan) boleh atau tidak seorang Perdana Menteri ulas keputusan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan pengerusi Lembaga Pengampunan.
Sehingga kes ini dimuktamadkan dan sehingga Tuanku Agong sendiri perkenan, tidak boleh kita sentuh,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai tindakan kerajaan yang tidak menjelaskan perkara sebenar berkaitan kewujudan Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO itu.
Anwar berkata sebagai seorang peguam berpengalaman, Takiyuddin sepatutnya mengetahui bahawa tidak wajar untuk mengulas isu yang sedang dalam prosiding mahkamah.
Malahan Anwar menempelak Takiyuddin yang disifatkan seperti mahu menjadi jaguh serta cuba meraih sokongan politik murahan apabila berterusan mempersoalkan dakwaan mengenai Titah Adendum.
“Peguam ini (Takiyuddin) faham ke undang-undang? Tak boleh (ulas), kalau saya pilih untuk menjawab (mengenai Titah Addendum), saya tak boleh jawab (jawab) untuk menghormati mahkamah.
Tak faham ke itu… nak cari ‘cheap political stunt and the hipocracy is suddenly’ (aksi politik murahan dan sikap berpura-pura tiba-tiba) dia (Takiyuddin) nak jadi champion (juara dalam isu) Najib.
Apa sudah percaya dia champion (juara)? Dulu ucapan dia berapi-api mengecam Najib habis-habisan, dari rambut sampai kaki. Sekarang nak jadi hipokrit,” katanya.
Terdahulu Anwar ‘ditekan’ oleh Takiyuddin untuk mengesahkan sama ada adendum itu wujud atau tidak termasuk kebenaran afidavit yang dirujuk anak Najib, Mohd Nizar , dengan mendakwa wujudnya titah adendum itu.
“Kenapakah selama ini pihak kerajaan tidak bercakap benar mengenai kewujudan atau tidak adendum ini? Apakah ini bukan satu pendustaan dan penderhakaan kepada titah perintah bagi Agong dan ini juga terkandung dalam satu perkara yang dianggap di segi undang-undang wrongful imprisonment?
“Kalau ia ada melanggar peraturan, rakyat Malaysia mahu penjelasan,” katanya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat subjudis memandangkan rayuan dan notis usul berhubung titah adendum tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa setiap rayuan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak atau banduan kepada Lembaga Pengampun akan diberi pertimbangan sebelum Yang di-Pertuan Agong putuskan.
“Pada prinsipnya, kita bersetuju atau tidak dengan keputusan mahkamah (melibatkan) hak seseorang merayu, kita tidak boleh nafikan hak untuk pendengaran dalam Lembaga Pengampunan.
Untuk rekod, saya persembahkan kepada Tuanku atas alasan semua rakyat atau banduan berhak membuat permohonan dan kerana kedudukan Najib, adalah munasabah untuk diberi pertimbangan.
“Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda (mesyuarat), saya masukkan sebab ia harus diberi pertimbangan,” katanya.— BebasNews
2 ulasan:
keluarkanlah titah dari k'jaan Madani perpaduan bahawa titah tu wujud atau sebaliknya senang cakap terhindar dari kekeliruan wahai pmx eksekutif pusat kahkahkah
Soalan mudah ada addundem ke atau tak ada addendum
Pilih salah satu
Ya
Atau
Tidak
Susah sangat ka...?
Catat Ulasan