Jumaat, 17 Januari 2025

TURUN JALAN RAYA MENANG PILIHANRAYA

 


TURUN JALAN RAYA MENANG 

PILIHAN RAYA


Wajib diberitahu disini bahawa tunjuk perasaan atau demo sahaja tidak akan menjatuhkan kerajaan. Saya ulang - demo sahaja tidak akan menjatuhkan kerajaan. Wajib wujud syarat dan hukum-hukum yang lain yang sama seiring berjalan  dengan tunjuk perasaan.

Saya telah bersurah memberi pencerahan bagaimana kerajaan Iran di bawah  Shah Reza Pahlavi runtuh pada 11 Februari 1979. Saya telah menggunakan Revolusi Iran sebagai rujukan untuk kita memahami teori dan praktis politik jalan raya.

Ketika revolusi Iran sedang berjalan - dari pandangan  mata kasar -  kita terbaca dan terlihat  ribuan rakyat Iran turun ke  jalan raya. Bukan sehari bukan dua hari  tapi berminggu-minggu jalan raya di Tehran, di Mashhad atau di Bandar Abbas di penuhi oleh para penunjuk perasan.

Mak Cik, Minah, Kakak , Pak Lebai, Pak Haji, Mullah, Imam , Tok Kadi , Ayatollah, Pelajar, Mahasiswa, Anak Muda, Abang , Ayah dan Adik semua turun berdemo. Semua melaungkan : Marga Shah – Mampus Shah anjing Amerika.  Semua sehati sejiwa dengan satu tuntutan : Jatuhkan kerajaan Ahmad Reza Pahlavi. Khalas.
 
Ombak di Tehran ini meluas dan  dibaca di seluruh dunia. Warga Iran di luar negara bersama warga  asing telah  keluar sama  bersolidariti.  Tunjuk perasaan  telah merebak ke Karachi,  ke London,  Washington  DC dan Berlin. 

Ribuan rakyat diatas jalan raya ini telah memberi tekanan kepada pemerintah. Ribuan rakyat di jalan raya ini menjadikan elit politik yang berkuasa di Tehran gelabah.

Mereka mula beramuk sesama sendiri. Mereka mula tuduh menuduh.  Bila ini berlaku  adalah  pertanda bahawa tunjuk perasaan dan demo adalah gerakan politik yang efektif. Ini bukti jalan raya menjadi wadah politik yang ampuh dan menjanjikan kejayaan.

Bertengkar sesama sendiri ?  Mula tuduh menuduh?  Betul kah ini ?

Kita tidak perlu pergi jauh merujuk Google untuk melihat politik  Iran 1979. Lihat diri kita sendiri. Baca laporan media kita di Malaysia awal tahun ini.

Apakah kita semua lupa apa yang terjadi sebelum Senin 6 Januari 2025. Pada tarikh ini satu demo telah disusun. Para  penyokong Najib mahu keluar berdemo di Putrajaya untuk menunjuk sokongan pada Najib dalam kes Titah Tambahan.

Apa terjadi ? 

Belum pun demo berjalan telah berlaku perbalahan antara elit politik dalam  kerajaan yang memerintah.  Lim Guan dari parti DAP menyelar langkah UMNO untuk keluar berdemo.  Pemuda AMK juga menyelar Dr Akmal Ketua  Pemuda UMNO yang merancang demo. 

Sebagai jawapan kepada  Guan Eng Presiden UMNO Zahid Hamidi memperlekeh Guan Eng dengan gelaran pemimpin yang sudah ‘expired ‘.  Tibai menibai berterusan. Suasana menjadi lebih hangat apabila Parti PAS mencelah masuk menyokong untuk sama  turun berdemo. 

Langkah PAS ini telah menjemput Anwar Ibrahim mengutuk dan mempersoalkan kejujuran PAS. Tuduh menuduh berpanjangan.

Suara sokongan muncul di sana sini. Suara membantah dan mengutuk  juga muncul sama. Wal hal DAP, PKR dan UMNO adalah parti pemerintah. Mereka dalam satu pasukan yang mendirikan  kerajaan. Amin.

Jangan lupa bagaimana Ketua Polis Negara masuk setakuk melarang orang ramai dari turun berdemo. Tuan OCPD Putrajaya juga mencelah sama untuk menakut-nakut orang ramai agar jangan berdemo.  Tindakan akan diambil jika turun berdemo. 

Jangan lupa Istana Negara juga mengeluarkan kenyataan.

Zahid sebagai  Pengerusi Barisan Nasional dan Timbalan Perdana Menteri mungkin mendapat tekanan dari Cik Gu Anwar Blackrock lalu membuat   kenyataan bahawa ahli UMNO yang turun berdemo  bukan dari arahan parti. 

Apa-apa berlaku ditanggung sendiri. Parti UMNO tidak mengambil tanggung jawab kepada ahli yang di tangkap polis kerana berdemo menyokong Najib. UMNO dilihat retak terbelah bagi.

Kenyataan Zahid Pengerusi BN ini telah memaksa  Parti MIC  beralih tempat berdemo  dari Putrajaya ke Batu Caves kerana takut di tangkap polis.

Bayangkan jika tidak ada demo isu Titah Tambahan dan kes rayuan Najib akan berlalu begitu saja. Tidak ada sesiapa  ambil pot. Orang ramai tidak peduli apa yang berlaku pada pagi Senin itu.

Perbalahan dan pertengkaran ini  berlaku kerana  adanya demo. Sama ada demo ini betul, afdal, jujur  atau suci sokongan terhadap Najib tidak penting. Apa yang penting disini demo itu telah menimbulkan  perbalahan antara parti-parti pemerintah.

Saya amat yakin Najib di jatuhkan pada 9 Mei 2018 dalam PRU14 kerana  tunjuk perasaan, kerana demo dan kerana politik jalan raya.

Tetapi awal telah saya kata kan demo TIDAK menjatuhkan kerajaan. Justeru bagaimana disini  di klim Najib di jatuhkan  keran demo dan politik jalan raya?

Sabar dulu biar saya berikan teori dan praktisnya. Ini kerana saya bukan sahaja terlibat bersama   dan menyusun demo-demo ini malah dari pengalaman ini saya mengumpul ilmu pengetahuan. Dari ilmu dan pengalaman ini saya mengajukan teori bahawa salah satu cara untuk menjatuhkan kerajaan di negara  Dunia Ke Tiga seperti di Malaysia ialah melalui  politik jalan raya.

Dari fakta sejarah  budaya politik jalan raya  ini bukan satu yang baru. Orang Melayu dengan politik jalan raya telah berjaya membatalkan  Malayan Union pada tahun 1946. 

Jalan lupa  titik sejarah DEMO Baling pada 3 Disember 1974  yang membawa kepada penangkapan berbelas-belas  pelajar dan  pensyarah. Syed Husin Ali, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan Kamarazaman Yacob adalah diantara sosok yang ditahan  di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana Demo Baling.

Dari fakta sejarah sebelum kerajaan Najib di jatuhkan wujud Gerakan Reformasi melawan Mahathir a.k.a Mahafiraun. Penyokong Anwar Ibrahim telah keluar setiap Sabtu di Jalan Tunku  Abdul Rahman pada tahun 1998.

Sekali lagi Akta Keselamatan Dalam Negeri telah diguna untuk menangkap dan memenjarakan 10  aktivis Reformasi yang melawan Mahafiraun.

Dari fakta sejarah Bersih1 telah mengadakan demo pertama  pada 10 November 2007.  Ini permulaan menghidupkan kembali budaya politik jalan raya sesudah zaman Reformasi. Bersih meneruskan lagi budaya jalan raya dengan Bersih2, Bersih3 Bersih4 dan Bersih5.

Demo Bersih1 telah disambut oleh Demo Hindraf pada 25 November 2007. Ribuan warga India yang terpinggir telah berhimpun di hadapan Bangunan Berkembar Petronas. Akta keselamatan Dalam Negeri telah digunakan untuk menahan beberap orang pemimpin Hindraf.

Jangan kita lupakan bahawa Akta Keselamatan dalam Negeri atau ISA ini juga telah di lawan dengan demo besar pada 1 Ogos 2009.  Pada 11 September 2011 akta ini telah di mansuhkan. Satu kejayaan pertama politik jalan raya.

Orang Asal juga telah menyambut budaya politik jalan raya. Pada 17 Mac 2010 mereka berhimpun di Putrajaya membantah pencerobohan ke atas tanah adat mereka.

Langkah Orang Asal ini telah di sambut oleh Majlis Peguam Negara. Para peguam dan pengamal undang-undang telah keluar berdemo di Putrajaya pada 16 Oktober 2014 untuk membatalkan Akta Hasutan 1948.

Anak muda penyokong demokrasi telah memperluaskan lagi wadah jalan aya. Mereka menyambut dan menyokong langkah Orang Asal dan  Majlis Peguam. Justeru Kita Lawan disusun. Anak muda bermalam berhari hari di sebelah Dataran Merdeka pada bulan Mac 2015.

Kita juga jangan melupakan peranan Himpunan Hijau.  Tahun  2012 gerakan Himpunan Hijau telah aktif berdemo  menentang wujudnya kilang sisa radio aktif di Lynas Kuantan. Di penghujung tahun 2012 aktivis alam sekitar telah berdemo dan berarak dari Kuantan ke Dataran Merdeka menuju  ke Parlimen.

Budaya politik jalan raya telah merebak. Lagi di tentang lagi di lawan. Gerakan menentang GST telah berdemo menyambung budaya jalan raya. 

Wajib saya hitam putihkan dalam tulisan ini tentang  Mahathir Muhamad yang menjadi PM selama 22 tahun. Mahathir adalah sosok yang paling anti demo.  Bila saja ada demo Dr Mahathir terus beratip dengan mantra  bahawa : Demo bukan budaya kita.

Hakikatnya Mahathir tahu dan sedar tentang peranan demo yang akhirnya akan membawa perubahan. Justeru pada 19 November 2016 Mahathir sendiri telah sama turun berdemo di Dataran Merdeka.

Mahathir di jalan raya di Bersih5  untuk saya  adalah  satu kejayaan. Sosok pemegang kuasa yang kental menolak demo kini  sebaris dengan ribuan rakyat berpolitik di jalan raya.

Apa rumusan yang wajib kita fahami  disini ialah demo ini ialah tunjuk perasaan. Kita berdemo untuk  menunjuk perasaan kita. Ini perasaan marah  yang kita tunjukkan kepada mereka yang berkuasa.  Lagi ramai kita berdemo lagi  besar impak terhadap politik negara. Ribuan orang di jalan raya ini akan mempengaruhi sosok-sosok di atas pagar untuk satu ketika nanti akan bersama kita.

Ribuan penunjuk perasaan di jalan raya juga menunjukkan kekuatan kita. Kekuatan  kita ini  seperti yang telah dirakam akan menakutkan Sang Penguasa.

Maka diri sinilah kita terjemahkan kemarahan kita dari jalan raya ke peti undi. Jalan raya itu hanya  cara untuk mengolah persetujuan -  untuk menghasut orang ramai agar membawa undi mereka  ke peti undi.

Inilah yang telah berlaku pada 9 Mei 2018. Kemarahan dan hasutan yang telah kita susun bertahun-tahun telah berjaya  kita arahkan ke peti undi. Hasilnya Najib kalah. Pada 10 Mei 2018 kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih untuk pertama kalinya.

Saya pendakwah wadah dan politik jalan raya akan terus mendakwah. Saya akan menyebarkan teori dan praktik budaya politik jalan raya ini untuk generasi sekarang dan yang akan datang. Saya akhiri dengan : Tidak turun ke jalan raya tidak akan menang pilihanraya. Amin. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
BEBAS NEWS. MY
https://bebasnews.my/2025/01/17/turun-jalan-raya-menang-pilihan-raya-bahagian-akhir/



Tiada ulasan: