'
Pemilihan PKR: Debat terbuka Rafizi-Nurul wajar diadakan - Akmal Nasrullah
PADANG BESAR: Debat terbuka antara calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar wajar diadakan dalam mencambahkan pemahaman rakyat terhadap sesuatu isu.
Malah, ia juga dilihat sebagai mempertahankan budaya parti berkenaan yang konsisten dalam membincangkan sesuatu isu atau perkara secara terbuka.
Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pihaknya menyambut baik kesediaan Rafizi yang juga penyandang timbalan presiden untuk berdebat secara terbuka dengan Nurul Izzah yang juga naib presiden.
"Sebagai ahli PKR, sudah tentu saya mengharapkan agar satu pertimbangan (debat terbuka) dibuat untuk semua kerana ini adalah untuk mempertahankan budaya parti.
"Kita tidak mahu dilihat tidak konsisten dalam hal ini disebabkan dahulu kita boleh berbahas dan mencabar antara satu sama lain dan sebagainya.
Namun, alangkah elok dan lunaknya budaya ini jika kita pertahankannya walaupun kini kita sebagai sebuah kerajaan.
"Kita masih terus berdebat atau berbahas dengan pembangkang seperti Ahli Parlimen Bachok (Mohd Syahir Che Sulaiman) yang berbahas secara terbuka dengan Rafizi. Jadi ini akan mencambahkan lagi pemahaman terhadap sesuatu isu itu.
"Kalau ini soal pemilihan parti pula, maka saya rasa wajarlah kedua-dua calon itu mengadakan perdebatan," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2025 peringkat negeri Perlis di Dataran Boulevard Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Uniciti Alam, Sungai Chuchuh, Titi Tinggi, di sini hari ini.
Kira-kira 2,000 orang hadir di majlis berkenaan yang mewakili pelbagai institusi pengajian tinggi awam, sekolah, persatuan dan pertubuhan belia pelbagai kaum di negeri itu.
Pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Temerloh Pahang, baru-baru ini, Rafizi dilaporkan berkata sedia berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan suhu panas dalam kalangan penyokong masing-masing ketika ini.
Beliau juga memberi alasan ia boleh menjadi medan menjelaskan hala tuju parti dan mencadangkan debat itu dianjurkan oleh penganjur bebas agar ia lebih telus dan terbuka kepada penilaian ahli serta rakyat.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata apabila berlakunya pemilihan parti dan diikuti pertandingan merebut sesuatu jawatan itu, maka kedua-dua calon berkenaan wajar berkempen sebaik mungkin.
"Elok dibuat kempen secara menyeluruh sama ada turun ke negeri atau sebagainya. Jadi bagi saya, sebaiknya saya masih mengharapkan sebelum pemilihan yang dijangka pada Jumaat ini, bolehlah diadakan satu lagi perbahasan dan perdebatan antara calon timbalan presiden itu.
"Sebenarnya ini akan melunakkan segala pandangan daripada hanya masing-masing bercakap dengan kumpulan penyokong masing-masing. Biarlah kita bertemu muka dan berhujah menggunakan asas yang ada kerana ini juga akhirnya akan memperkuatkan parti," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan