Hampir 600 PATI ditahan dalam Op Mega JIM di Mentari Court
PETALING JAYA – Seramai 597 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi mega Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama agensi penguatkuasaan lain di sekitar pangsapuri Mentari Court, di sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, tangkapan PATI itu hasil pemeriksaan pihaknya ke atas 1,597 warga asing dari pelbagai negara yang mendiami kawasan perumahan itu.
“Antara PATI yang ditahan termasuk warganegara Indonesia (201), Bangladesh (71), Pakistan (46), Myanmar (226), Nepal (44), Thailand (1) dan India (8).
“Kesemua yang ditahan berumur di antara 11 hingga 59 tahun, terdiri dari 472 lelaki dan 125 perempuan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Op Mega JIM bersepadu di Mentari Court, di sini, malam ini.
Turut hadir Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.
Jefri berkata, op mega yang bermula jam 9 malam itu bagaimanapun berakhir hampir tiga jam.
“Operasi penguatkuasaan ini melibatkan 390 pegawai dari JIM Selangor, JIM Putrajaya, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya,” katanya.
Jefri juga berkata, kesemua PATI yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan.
“Kebanyakan PATI yang ditahan bekerja di restoran, kedai runcit, malah ada yang didapati mengusahakan perniagaan sendiri.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya.
Katanya lagi, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.
“Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya lagi. –


Tiada ulasan:
Catat Ulasan