Kapal Freedom Flotilla bawa 30 aktivis ke Gaza karam
GAZA: Kapal milik kumpulan aktivis Freedom Flotilla dilaporkan karam selepas diserang dron Israel ketika cuba memasuki sekatan di Semenanjung Gaza, lapor Al Jazeera.
Serangan itu menyebabkan kebakaran berlaku di bahagian atas kapal, sebelum kapal berkenaan menghantar isyarat kecemasan dan menerima maklum balas daripada tentera laut Cyprus.
Kapal berkenaan kini dilaporkan berlabuh di perairan antarabangsa berhampiran pantai Malta.
Freedom Flotilla yang ditubuhkan tahun lalu oleh aktivis keamanan dari beberapa negara, menggunakan kapal pukat tunda yang diubah suai untuk berdepan dengan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pegawai media kumpulan itu, Yasemin Acar, memberitahu CNN bahawa kapal berkenaan kini mengalami kebocoran besar dan sedang karam.
Acar memaklumkan serangan berlaku di perairan antarabangsa kira-kira 17 kilometer (km) dari Malta dan kru kapal bertindak mengeluarkan isyarat kecemasan kepada negara-negara berhampiran.
Dalam pada itu, sebuah bot kecil dari Cyprus dihantar ke lokasi kejadian untuk membantu.
Menurut Acar, seramai 30 aktivis hak asasi manusia antarabangsa kini berada di atas kapal yang sedang karam.
Menerusi hantaran di platform X, kumpulan itu menyatakan bahawa kapal mereka diserang dua kali oleh dron pada jam 12.23 pagi Jumaat waktu Malta, menyebabkan kerosakan pada badan kapal dan kebakaran.
Setakat petang semalam waktu Malaysia, belum ada laporan rasmi mengenai jumlah kecederaan atau kehilangan nyawa. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan