C4 kutuk kenyataan Anwar berhubung lantikan politik
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menegaskan lantikan politik seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.
NGO itu menegaskan kenyataan perdana menteri mengkhianat agenda reformasi dengan mengesahkan pelantikan berasaskan kesetiaan politik.
“Anwar telah berulang kali mempertahankan pelantikan politik, mendakwa ia dibenarkan jika calon mempunyai kelayakan ‘profesional’ dan bahawa pertalian politik mereka tidak relevan.
“Namun, C4 dan pertubuhan masyarakat sivil lain menolak hujah ini, sebaliknya mencadangkan proses pelantikan yang telus berdasarkan garis panduan jelas yang merangkumi kriteria kelayakan dan larangan,” kata C4 dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Anwar dalam ucapannya di Kongres Nasional PKR berkata perkara itu merupakan balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.
“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” kata Anwar.
Kenyataan terkini Anwar itu menurut C4, lebih membimbangkan kerana dibuat secara terbuka mengakui dan mempertahankan ganjaran berdasarkan kesetiaan politik.
Katanya, ia berbeza dengan pendirian awalnya yang mendakwa pertalian politik tidak diambil kira.
“Persoalannya, adakah calon yang setia kepada Anwar dan PKR akan diutamakan walaupun terdapat ramai calon lain yang sama layak?
“Pelantikan politik berisiko mengukuhkan rangkaian kroni, di mana pemimpin GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sering membuat keputusan untuk memanfaatkan parti atau individu yang melantik mereka.
“Anwar kini secara terang-terangan menyokong politik patronase (naungan) menjadikan kesetiaan sebagai mata wang transaksi untuk mendapatkan kuasa,” kata kumpulan itu lagi.
Tambah C4, kenyataan Anwar bukan sekadar menjadi bahan ketawa, tetapi petanda bahawa dia tidak serius membanteras rasuah dan kronisme dalam budaya politik Malaysia.
“Sebagai perdana menteri dia menetapkan duluan berbahaya dengan menormalkan rasuah. Jika beliau bebas memberi ganjaran jawatan kepada penyokong setia, apa yang menghalang parti lain daripada berbuat sama?
“Politik patronase mengubah pelantikan menjadi cip tawar-menawar, bukan peluang untuk rakyat. GLC dan badan berkanun mempunyai fungsi awam penting dalam sektor seperti pengangkutan, kesihatan, dan pendidikan. Integriti mereka mesti dilindungi daripada dieksploitasi untuk kepentingan peribadi atau politik,” kata kenyataan itu.
C4 turut mengingatkan betapa alasan Anwar bahawa calon perlu ‘berkelayakan’ juga bermasalah kerana individu berkelayakan itu masih boleh terlibat dalam patronase.
“Tanpa dasar pelantikan yang jelas, kerajaan boleh mentakrifkan ‘kelayakan’ secara sewenang-wenangnya untuk mencapai agenda sendiri,” tambah badan itu


2 ulasan:
C4 ini macam pernah dengar dahulu masa kes Altantuya? Masih ada kah c4 ini ? Kah kah kah
Naaaajeeeeep machiato pon potong queue, itu la politaik type M. Apo nak dikato..kito golak ajo tengok pak arab berdansa. Kakakakaka
Catat Ulasan