Penduduk sempadan Thailand-Kemboja mula pulang ke rumah
BANGKOK: Komander tentera Thailand dan Kemboja mengadakan rundingan pada Selasa bagi mengekalkan ketenteraman, ketika keadaan kembali tenang di sempadan yang dipertikaikan dan penduduk yang dipindahkan mula kembali.
Jumlah yang pulang secara beransur-ansur bertambah ramai, susulan pengumuman gencatan senjata bermula hari ini oleh kedua-dua negara Asia Tenggara itu, bagi menamatkan pertempuran lima hari.
Pemimpin Thailand dan Kemboja bertemu di Malaysia pada Isnin dan bersetuju memeterai perjanjian gencatan senjata bagi menghentikan konflik paling berdarah antara kedua-dua negara dalam tempoh lebih sedekad.
Pertempuran lima hari itu meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa, kebanyakannya orang awam dan memaksa lebih 300,000 orang dipindahkan dar sempadan di kedua-dua negara.
Laluan kenderaan dan aktiviti harian kembali seperti biasa di daerah Kantharalak, wilayah Sisaket, Thailand sejak pagi tadi, kira-kira 30 kilometer (km) dari kawasan pertempuran, di mana pasukan tentera Thailand dan Kemboja masih ditempatkan.
Chaiya Phumjaroen, 51, berkata beliau kembali ke bandar untuk membuka semula kedai miliknya awal pagi Selasa, selepas mendengar berita mengenai perjanjian gencatan senjata.
"Saya sangat gembira dengan pengumuman gencatan senjata ini. Jika mereka terus berperang, kami langsung tiada peluang untuk mencari rezeki," katanya.
Di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja, Ly Kim Eng, 63, duduk di hadapan sebuah khemah sementara berlantaikan kanvas sambil menunggu arahan selepas mendengar berita mengenai gencatan senjata.
"Jadi, jika pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan selamat dan semua pelarian boleh pulang, saya akan terus balik," katanya.
Pertempuran terbaharu itu adalah yang paling meragut nyawa, dalam beberapa pertempuran seli berlaku antara 2008 hingga 2011, berhubung wilayah yang dituntut oleh kedua-dua negara susulan sempadan tidak jelas yang ditetapkan oleh pentadbir kolonial Perancis pada 1907.
Seorang lagi penduduk setempat, Phean Neth, yang sedang mengemaskan barangnya di sebuah kem pelarian besar Kemboja yang dibina di kawasan kuil jauh dari zon pertempuran, mengakui terlalu gembira kerana dapat pulang.
"Saya begitu gembira apabila mendengar berita gencatan senjata kerana saya sangat merindui rumah dan barang-barang yang saya tinggalkan," kata wanita berusia 45 tahun itu kepada AFP.
Kenyataan bersama oleh kedua-dua negara serta Malaysia selaku pengantara rundingan damai menyifatkan perjanjian gencatan senjata itu sebagai 'langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan serta keselamatan'.
"Jika mereka kata akan hentikan tembakan, mereka mesti hentikan sepenuhnya," kata Prapakarn Samruamjit, 43, seorang pelarian dari Thailand di bandar Surin. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan