PMO umum lulus 16 inisiatif tanpa maklum Mitra, dakwa sumber
Pengumuman Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung kelulusan 16 program berimpak tinggi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dilihat menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding kejelasan – termasuk dalam kalangan pegawai Mitra sendiri.
Menurut sekurang-kurangnya dua sumber dalaman yang bercakap kepada Malaysiakini, agensi itu tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pengumuman yang dibuat PMO hari ini yang disifatkan sebagai mengejutkan.
"Seperti kamu semua, kami sendiri mengetahui perkara itu melalui kenyataan media PMO.
"Tapi, kami sendiri tidak tahu apa 16 program itu dan bila ia diluluskan dan berapa jumlah dana diperuntukkan," kata satu sumber yang terlibat dalam proses perakuan program oleh Mitra sebelum dibawa ke PMO.
Terdahulu hari ini, PMO mengumumkan 16 program diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, dengan penekanan kepada tiga bidang utama – pendidikan dan latihan, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.
Bagaimanapun, kenyataan media itu tidak menyebut jumlah peruntukan kewangan atau status terperinci bagi setiap program yang diluluskan.
PMO juga menjelaskan beberapa permohonan tidak dapat diluluskan atas faktor pertindihan, terutamanya yang berkaitan dengan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang berada di bawah bidang kuasa Majlis TVET Negara.
"Selain itu, beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
"Justeru, penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber," kata PMO lagi.
Namun begitu, satu sumber lain daripada Mitra mengulangi kebimbangan terhadap kejutan pengumuman itu dan implikasinya terhadap persepsi awam terhadap peranan agensi itu.
"Kami pasti ramai akan tanya Mitra kenapa hanya 16 program diluluskan sedangkan Mitra menyokong 45 program dengan anggaran dana RM40 juta. Itu yang kami tak faham.
“Proses penilaian adalah tiga peringkat seperti digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan PPSMI.
"Tiga peringkat itu ialah saringan Seksyen, perakuan di Jawatankuasa Kerja Mitra dan Jawatankuasa Pemandu Mitra Jabatan Perdana Menteri dan terakhir di peringkat kelulusan oleh YAB Perdana Menteri.
"Proses penilaian ini adalah garis panduan yang disediakan oleh PMO sendiri. Mitra menyokong 45 program berdasarkan garis panduan disediakan oleh PMO sendiri. Jadi, kami tak faham bagaimana boleh ada pertindihan," kata sumber itu lagi.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Mitra, P Prabakaran menzahirkan sokongan terhadap keputusan perdana menteri dan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan PMO.
"Mitra menyambut baik dan berterima kasih dengan PM atas kelulusan 16 program ini.
"Kami berasa adalah baik PM memberi kami hala tuju baru mengenai masa depan Mitra.
"Kami akan meneruskan kerjasama dengan PMO. Dan selepas menerima butiran penuh mengenai kelulusan 16 program ini, kami akan berkongsi dengan pihak media," katanya.
Dalam pada itu, Malaysiakini telah menghubungi PMO untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Sebelum ini Mitra mengesahkan bahawa sebanyak 45 cadangan program telah diperaku dalam fasa pertama dan dikemukakan kepada PMO untuk pertimbangan.
Difahamkan program-program ini bernilai RM40 juta di bawah Fasa 1 Belanjawan 2025 dan menyasarkan sokongan kepada komuniti India yang memerlukan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan