Trump saman Wall Street Journal AS$10 bilion
NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memfailkan saman AS$10 bilion (RM42.5 bilion) terhadap Wall Street Journal (WSJ) dan pemiliknya termasuk Rupert Murdoch.
Saman itu berhubung laporan akhbar terbabit yang mendakwa nama Trump terdapat dalam kad ucapan hari jadi tahun 2003 untuk Jeffrey Epstein, yang mengandungi lukisan berunsur seksual serta rujukan kepada 'rahsia' yang mereka kongsi bersama.
Saman itu mendakwa kad ucapan hari jadi Trump itu adalah palsu dan artikel WSJ itu diterbitkan dengan niat untuk mencemarkan kewibawaan Trump.
Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Miami dengan menamakan Murdoch, Dow Jones, News Corp serta dan Pegawai Eksekutifnya, Robert Thomson, serta dua wartawan WSJ sebagai defendan.
Saman itu didakwa memfitnah Trump dan menyebabkan beliau mengalami kerugian kewangan dan kehilangan maruah yang besar.
Epstein, seorang ahli kewangan yang terpalit skandal dan kesalahan seksual, meninggal dunia dalam sel penjara New York pada 2019.
Kes Epstein mencetuskan pelbagai teori konspirasi dalam kalangan penyokong Trump yang percaya bahawa kerajaan cuba menyembunyikan hubungan Epstein dengan tokoh-tokoh elit lagi berkuasa.
Trump berkata beliau menjauhkan diri daripada Epstein sebelum masalah perundangan Epstein menjadi pertikaian umum pada 2006.
Trump dengan tegas menafikan laporan WSJ itu dan memberi amaran kepada Murdoch bahawa beliau akan mengambil tindakan undang-undang. Dow Jones, penerbit WSJ, adalah anak syarikat kepada News Corp.
"Kami baru sahaja memfailkan saman terhadap semua yang terbabit dalam penerbitan artikel berita palsu dalam akhbar yang tidak berguna iaitu WSJ.
"Saya harap Rupert dan 'rakan-rakannya' bersedia untuk sesi soal siasat dan keterangan dalam kes ini," katanya menerusi platform Truth Social miliknya.
Jurucakap Dow Jones dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yakin sepenuhnya terhadap ketelitian dan ketepatan laporan serta sedia mempertahankan diri dengan bersungguh-sungguh dalam sebarang tuntutan mahkamah.
Apa yang jelas, artikel itu tidak menerangkan sama ada defendan memiliki salinan surat berkenaan, sudah melihatnya, atau sekurang-kurangnya mendapat gambaran mengenainya atau apa-apa pun yang boleh menyokong kewibawaan artikel berkenaan," menurut kenyataan saman itu.
Bagi menang dalam tuntutan fitnah itu, Trump perlu membuktikan bahawa defendan bertindak dengan niat jahat.
Skandal Epstein memberi tekanan kepada Rumah Putih, selepas Jabatan Kehakiman AS bulan ini memutuskan bahawa tiada bukti menyokong teori konspirasi lama mengenai pelanggan Epstein dan kematiannya.
Dalam usaha meredakan tekanan, Trump berkata beliau sudah mengarahkan Peguam Negara, Pam Bondi, untuk meminta mahkamah mendedahkan keterangan juri besar (grand jury) dalam kes Epstein.
Jumaat lalu, kerajaan AS memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan Manhattan untuk membuka transkrip juri besar dalam kes Epstein dan bekas sekutunya, Ghislaine Maxwell.
Maxwell disabitkan bersalah pada 2021 atas lima pertuduhan Persekutuan berkaitan peranannya dalam penderaan seksual remaja bawah umur oleh Epstein.
Dia kini sedang merayu ke atas sabitan dan hukuman penjara 20 tahun yang dijatuhkan mahkamah. – REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan