Kebuluran melampau di Gaza, kanak-kanak paling terjejas
NUSEIRAT: Krisis kekurangan zat makanan di Gaza yang dilanda peperangan kini mencapai tahap membimbangkan, dengan puluhan ribu kanak-kanak dan wanita memerlukan rawatan segera, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Keadaan itu berlaku apabila bantuan hanya memasuki wilayah Palestin yang dikepung itu dalam jumlah yang amat terhad.
Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan kepada AFP bahawa pihaknya mencatat peningkatan kematian bayi akibat 'kebuluran dan kekurangan zat makanan yang teruk', dengan sekurang-kurangnya tiga kes kematian direkodkan dalam minggu lalu.
"Kes-kes menyayat hati ini bukan disebabkan oleh pengeboman secara langsung, tetapi akibat kebuluran, kekurangan susu formula bayi dan ketiadaan penjagaan kesihatan asas," kata jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal.
"Kami sedang mati kelaparan, anak-anak kami juga, dan kami tidak mampu berbuat apa-apa," kata Ziad Musleh, 45, yang dipindahkan dari utara Gaza ke bandar Nuseirat, kepada AFP.
"Anak-anak kami menangis dan menjerit meminta makanan. Mereka tidur dalam kesakitan, dalam kelaparan, dengan perut kosong. Tiada makanan langsung.
"Jika ada pun makanan dijual di pasaran, harganya terlalu mahal - tiada siapa mampu membelinya," katanya.
Di sebuah pusat pengagihan makanan di sekolah UNRWA yang dijadikan tempat perlindungan di Nuseirat semalam, kanak-kanak menghiburkan diri dengan mengetuk pinggan sementara menunggu giliran, lapor wartawan AFP.
Wajah mereka kelihatan cengkung dan jelas menunjukkan tanda kelaparan.
Umm Sameh Abu Zeina, yang pipinya menonjol akibat terlalu kurus ketika menunggu makanan, berkata beliau kehilangan 35 kilogram berat badan.
"Kami tidak cukup makan. Saya tidak makan, saya berikan makanan yang saya terima kepada anak saya," katanya, sambil menambah bahawa beliau menghidap tekanan darah tinggi dan kencing manis.
Penduduk Gaza serta agensi kemanusiaan PBB sering mengadu bahawa kekurangan bekalan makanan melonjakkan harga barangan ke tahap yang tidak mampu ditanggung.
Program Makanan Sedunia (WFP) memaklumkan awal Julai bahawa harga tepung roti meningkat 3,000 kali ganda berbanding sebelum perang bermula lebih 21 bulan lalu.
Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau, yang melawat Gaza City pada awal bulan ini, menyifatkan keadaan itu sebagai yang paling buruk pernah beliau saksikan.
"Seorang bapa yang saya temui kehilangan 25 kilogram dalam tempoh dua bulan. Rakyat sedang kebuluran, sedangkan makanan tersedia di seberang sempadan," katanya.Selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata enam minggu gagal, Israel mengenakan sekatan penuh ke atas Gaza mulai 2 Mac, dan hanya membenarkan kemasukan bantuan dalam jumlah kecil mulai hujung Mei.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan