Dakwaan intip infrastruktur penting Singapura: China sifatkan ia fitnah, tuduhan tak berasas
SINGAPURA: Kedutaan China di Singapura menafikan dakwaan mengenai kewujudan sebuah kumpulan pengintipan yang dituduh melakukan serangan siber terhadap infrastruktur penting negara ini yang mempunyai kaitan dengan China.
Melalui hantaran di Facebook hujung minggu lalu, kedutaan China menyifatkan dakwaan itu sebagai "fitnah dan tuduhan yang tidak berasas".
"Kedutaan ingin menegaskan semula iaitu China tegas menentang dan mengambil tindakan terhadap semua bentuk serangan siber mengikut undang-undang.
"China tidak menggalakkan, menyokong atau merestui sebarang aktiviti penggodaman," menurut kenyataan itu Sabtu lalu.
Terdahulu pada Jumaat, seorang menteri Singapura berkata kumpulan pengintipan UNC3886 menyasarkan "ancaman strategik bernilai tinggi dan infrastruktur penting yang menyediakan perkhidmatan asas".
Namun mereka tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai serangan itu.
Menteri berkenaan tidak mengaitkan kumpulan itu secara langsung dengan China, tetapi syarikat keselamatan siber milik Google, Mandiant, menyifatkan UNC3886 sebagai 'kumpulan pengintipan yang berkait dengan China' yang menyerang organisasi dalam bidang pertahanan, teknologi dan telekomunikasi di Amerika Syarikat (AS) dan Asia.
Beijing secara tetap, menafikan sebarang dakwaan pengintipan siber, malah menyatakan mereka menentang semua bentuk serangan siber serta turut menjadi mangsa kepada ancaman itu.
Menurut agensi siber negara itu, sektor infrastruktur penting di Singapura termasuk tenaga, air, perbankan, kewangan, kesihatan, pengangkutan, kerajaan, komunikasi, media serta perkhidmatan keselamatan dan kecemasan menjadi sasaran. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan