Selasa, 29 Julai 2025

PERANG - BERBINCANG DALAM BENTUK LAIN



Sempadan Thailand-Kemboja terus bergolak ketika rundingan damai


SAMRAONG: Pertempuran di sempadan Thailand-Kemboja berterusan memasuki hari kelima walaupun pemimpin kedua-dua negara dijadualkan bertemu petang ini bagi rundingan damai.

Sejak Khamis, sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dan lebih 200,000 penduduk terpaksa dipindahkan susulan konflik membabitkan beberapa kuil purba di sempadan yang menjadi pertikaian.

Rundingan dimulakan atas inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dijangka bertemu petang ini di Kuala Lumpur. China juga dijangka menghantar delegasi.

Trump turut mengancam kedua-dua negara dengan tarif perdagangan yang tinggi sekiranya mereka gagal memuktamadkan perjanjian perdagangan secara berasingan dengan AS.


Namun, menjelang rundingan itu, kedua-dua negara terus berbalas serangan dan tuduhan.

Phumtham berkata Thailand tidak percaya Kemboja bertindak dengan niat yang ikhlas, berdasarkan tindakan mereka setakat ini dalam menangani isu itu.

"Mereka perlu menunjukkan kesungguhan sebenar, dan kami akan menilai perkara itu semasa mesyuarat nanti," katanya.

"Hari ini masuk hari kelima Thailand menceroboh wilayah Kemboja dengan senjata berat dan menghantar ramai anggota tentera untuk merampas tanah kami," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata.

Tentera Thailand pula mendakwa penembak tepat Kemboja bersembunyi di salah satu kuil yang dipertikaikan, selain menuduh Phnom Penh menghantar tentera tambahan dan melancarkan serangan roket ke wilayah Thailand.

Menurut kenyataan tentera Thailand, pertempuran sedang berlaku di tujuh lokasi sepanjang sempadan luar bandar yang berbukit serta dikelilingi hutan dan kawasan pertanian getah selain padi.

"Keadaan sangat tegang dan terdapat petunjuk Kemboja mungkin merancang operasi ketenteraan besar sebelum memasuki rundingan," katanya.

Sabtu lalu, Trump berkata beliau membuat panggilan lewat malam kepada kedua-dua pemimpin yang kemudiannya bersetuju untuk 'segera mencari jalan damai'.

Hun Manet berkata sidang kemuncak itu, dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengantara, turut dianjurkan dengan penyertaan China, sekutu rapat dari segi perdagangan dan diplomasi.

"Tujuan utama mesyuarat ini ialah untuk mencapai gencatan senjata segera seperti yang dimulakan oleh Trump dan dipersetujui kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja," katanya.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, pegawai negaranya dilaporkan 'berada di Malaysia bagi membantu usaha damai itu.

Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika ini telah menjemput kepimpinan Thailand untuk membincangkan konflik Thailand-Kemboja.

"Pemangku Perdana Menteri, Phumtham Wechayachai akan mengetuai delegasi Thailand yang turut disertai Menteri Luar, Maris Sangiampongsa; Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Natthaphon Nakpanich dan pegawai kanan lain," katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, ulang tahun ke-73 Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn hari ini disambut dalam suasana suram, apabila majlis sambutan di Istana Diraja Bangkok dibatalkan susulan konflik berkenaan.

Thailand serta Kemboja dilaporkan bersetuju secara prinsip untuk mencapai gencatan senjata, namun saling tuduh menuduh pihak lawan sebagai pencetus serangan dan penghalang kepada usaha damai.

Thailand memaklumkan lapan anggota tentera dan 14 orang awam terkorban dalam konflik itu, manakala Kemboja mengesahkan lapan kematian awam dan lima anggota tentera.

Tentera Thailand turut menyerahkan mayat 12 tentera Kemboja yang maut dalam pertempuran.

Pertempuran ini turut memaksa lebih 138,000 penduduk Thailand berpindah dari kawasan sempadan, manakala di Kemboja, seramai 80,000 orang hilang tempat tinggal.

Kemboja turut menuduh tentera Thailand menggunakan bom berangkai, sementara Bangkok pula mendakwa Phnom Penh menyasarkan serangan ke atas hospital.

Dalam suasana sentimen nasionalisme yang semakin memuncak, kerajaan Thailand menggesa rakyatnya 'tidak melakukan sebarang bentuk keganasan termasuk melalui tutur kata atau tindakan' terhadap warga Kemboja yang tinggal di negara itu. - AGENSI


PERANG IALAH

PERBINCANG

DALAM BETUK

LAIN

AMIN 

Tiada ulasan: