Prabowo hadapi cabaran terbesar pentadbirannya, minta rakyat bertenang
JAKARTA: Selepas krisis di Thailand dan Kemboja, Indonesia kini bergolak dengan Presidennya, Prabowo Subianto, menghadapi ujian terbesar dalam pentadbirannya, yang menyaksikan tunjuk perasaan di serata negara.
Gelombang protes ganas sejak minggu lalu ekoran kemarahan rakyat yang tertekan dengan kenaikan elaun ahli Parlimen bertukar menjadi krisis nasional ekoran kematian tragis seorang penunggang teksi motosikal atau Ojek, pada Khamis lalu.
Penganalisis memberi amaran krisis itu menjadi medan ujian terbesar Prabowo sejak memegang tampuk kepimpinan, kerana beliau kini perlu menyeimbangkan antara tuntutan rakyat, tekanan politik dalaman dan keselamatan awam.
Dalam pada itu, Bank Indonesia (BI) menegaskan pihaknya akan memastikan pergerakan mata wang rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus mencerminkan asas kukuh ekonomi negara.
Menurut laporan Reuters, langkah itu termasuk melalui campur tangan pasaran apabila diperlukan.
Ketua Pengurusan Monetari BI, Erwin Gunawan Hutapea berkata demikian sebelum pasaran dibuka pada hari ini.
Kenyataan itu hadir selepas nilai rupiah dan pasaran saham Indonesia terjejas berikutan berita mengenai protes di Jakarta pada Jumaat lalu.
Rupiah dilaporkan melemah berbanding dolar AS, sementara sentimen pelabur turut terkesan dengan ketidaktentuan politik dalam negeri.
Bagaimanapun, BI menegaskan keadaan kekal terkawal dan pihaknya mempunyai instrumen yang cukup untuk menstabilkan pasaran.
Erwin turut menekankan bahawa bank pusat akan terus memantau faktor luaran, termasuk dasar monetari global dan aliran keluar modal, bagi memastikan nilai mata wang kekal sejajar dengan asas ekonomi Indonesia.
Dalam perkembangan berkaitan, Prabowo mengambil keputusan membatalkan keistimewaan dan elaun wakil rakyat termasuk elaun perumahan berjumlah AS$3,000 (lebih RM12,000) yang mencetuskan kontroversi.
Ia antara usaha awal Prabowo meredakan kemarahan rakyat selepas gelombang protes di seluruh negara meragut enam nyawa setakat ini.
Diiringi pemimpin lapan parti politik Indonesia, Prabowo pada sidang media yang disiarkan secara langsung dari ibu kota Jakarta, berkata mereka bersetuju untuk memotong elaun perumahan serta membekukan perjalanan rasmi ke luar negara bagi ahli Parlimen.
Ia dianggap satu langkah luar biasa sebagai maklum balas terhadap kebangkitan kemarahan orang ramai.
"Mulai hari ini (Isnin), elaun tertentu wakil rakyat akan dimansuhkan dan lawatan kerja ke luar negara digantung di bawah moratorium baharu," katanya.
Selepas protes besar-besaran melanda negara demokrasi ketiga terbesar dunia minggu lalu, Prabowo pada hujung minggu memanggil tokoh-tokoh terkemuka negara dan membatalkan lawatan berprofil tinggi ke China.
Beliau mengadakan pertemuan dengan 16 tokoh agama serta lapan pemimpin politik termasuk bekas presiden Megawati Sukarnoputri yang juga pengerusi satu-satunya parti pembangkang rasmi negara, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Protes selama lima hari bermula di Jakarta pada Isnin, tercetus susulan laporan bahawa semua 580 wakil rakyat menerima elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah (lebih RM12,000) selain gaji mereka.
Elaun yang diperkenalkan tahun lalu itu adalah hampir 10 kali ganda daripada gaji minimum di Jakarta. - AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan