Inkues Zara Qairina: Mahkamah Koroner terkejut, guru dedah wujud dokumen penting tak diserah kepada polis
KUALA LUMPUR: Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha mendedahkan bahawa wujud dokumen asal berkaitan insiden yang menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir disimpan dalam fail Unit Disiplin sekolah.
Pendedahan itu mengejutkan dan mengecewakan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan semalam di Mahkamah Khas Koroner, Kota Kinabalu, serta semua pihak yang hadir kerana dokumen itu mengandungi keterangan bertulis yang ditulis sendiri oleh pelajar-pelajar pada 17 Julai 2025, iaitu dua hari selepas kejadian.
Pasukan peguam kepada ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, dalam kenyataan memaklumkan, maklumat itu didedahkan oleh saksi ke-53, Nur Shukriah Mohd Fauzi.
"Saksi berkata, dokumen penting itu tidak pernah diberikan kepada pihak polis.
"Saksi juga berkata, dokumen itu tidak pernah dimaklumkan oleh saksi-saksi guru sebelum ini walaupun terdapat di antara mereka yang mengetahui kewujudannya," menurut kenyataan itu malam tadi.
Susulan pendedahan mengejut itu, Hakim Koroner memutuskan bahawa inkues bersambung hari ini untuk prosiding sebutan sahaja.
Kenyataan itu memaklumkan, susulan pendedahan itu juga, Hakim Koroner mengarahkan semua pihak untuk mendapatkan dan meneliti dokumen terbabit serta berbincang sama ada perlu memanggil semula saksi kanak-kanak atau pelajar lain yang terbabit dalam siasatan dalaman sekolah.
Ibu Allahyarham diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan