Penduduk Tebing Barat diserang peneroka haram Israel ketika tuai zaitun
BAITULMAQDIS: Sekumpulan peneroka Israel menyerang penduduk Palestin, aktivis, dan wartawan, ketika mereka sedang menuai buah zaitun berhampiran sebuah pos peneroka di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel.
Dua kakitangan Reuters iaitu seorang wartawan dan seorang penasihat keselamatan yang mengiringinya, antara yang cedera dalam serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu, belantan dan batu besar, berhampiran kampung Palestin, Beita.
Kawasan itu terletak di selatan bandar Nablus, yang sebelum ini sering menjadi lokasi konflik atau serangan peneroka dan kini perbuatan itu semakin ketara di seluruh Tebing Barat sejak perang Gaza bermula dua tahun lalu.
Keganasan juga semakin meningkat sepanjang musim menuai zaitun tahun ini, yang biasanya bermula pada Oktober dan satu-satunya mata pencarian penduduk Palestin di Tebing Barat.
Apabila jumlah serangan semakin meningkat, aktivis Israel dan antarabangsa sering menyertai penduduk Palestin bagi melindungi hak mereka menuai hasil tanaman serta mendokumentasikan sebarang kes keganasan.
Biasanya, aktivis atau penduduk tempatan memaklumkan wartawan mengenai rancangan menuai itu supaya mereka boleh hadir membuat liputan, terutama di kawasan panas seperti pos peneroka haram.
Pos peneroka biasanya terdiri daripada beberapa karavan atau struktur sementara dan ia tidak mendapat kelulusan rasmi kerajaan Israel.
Palestin dan kebanyakan negara menganggap semua penempatan Israel menyalahi undang-undang antarabangsa, walaupun Israel menafikan dakwaan itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, mereka sudah menghantar askar ke lokasi selepas menerima laporan mengenai 'satu konfrontasi' tetapi saksi mendakwa tiada askar Israel kelihatan di tempat kejadian.
"IDF mengecam sebarang tindakan keganasan dan akan terus berusaha mengekalkan keselamatan serta ketenteraman di kawasan berkenaan," kata tentera dalam kenyataan kepada Reuters, sambil berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut.
Pihak polis dan jurucakap Majlis Serantau Shomron, yang mewakili penempatan Israel di kawasan itu, setakat ini belum memberi sebarang maklum balas.
Menurut saksi, pada hari kejadian, kira-kira 30 penduduk kampung dan aktivis serta 10 wartawan berkumpul untuk menuai zaitun tetapi puluhan lelaki turun dari pos peneroka di atas bukit dan menyerang mereka.
Penyerang memukul mangsa dengan kayu dan menyerang jurugambar Reuters, Raneen Sawafta, berulang kali ketika beliau cuba melindungi diri.
Seorang aktivis hak asasi manusia Israel yang menyaksikan insiden itu, Jonathan Pollak berkata, kira-kira 50 peneroka bertopeng terbabit dalam serangan itu.
"Mereka memukul Raneen tanpa belas kasihan, terus membaling batu walaupun dia sudah terbaring di tanah malah menyerang sesiapa sahaja yang cuba menolongnya," katanya.
Pollak berkata, penyerang juga menjerit dalam bahasa Ibrani dengan kata-kata seperti 'berambus dari sini!'
Raneen yang ditemani Grant Bowden, penasihat keselamatan Reuters, turut dipukul ketika cuba melindunginya.
Peralatan kameranya juga dihancurkan.
Kedua-duanya memakai topi keledar dan jaket dengan tanda jelas 'Press' (media). Topi keledar Raneen juga kelihatan mengalami kemek besar akibat dipukul. Beberapa individu lain turut cedera dalam serangan itu.
"Kami menyeru pihak berkuasa Israel untuk menyiasat kejadian ini, mendakwa mereka yang bertanggungjawab dan memastikan wartawan dapat bekerja dengan bebas serta tanpa ancaman," kata Reuters dalam kenyataan rasmi. - REUTERS
![]() |


Tiada ulasan:
Catat Ulasan