ANWAR
BIN IBRAHIM
INIKAH
REFORMASI 2026 ?
Jabatan Peguam Negara kini telah mengemukakan permohonan semakan jenayah di bawah Kaedah 137, Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman sebagai tidak berperlembagaan dan pada masa yang sama memohon supaya pendakwaan terhadap saya dihidupkan semula.
Untuk ingatan semua, saya didakwa pada 26 Ogos 2022 kerana menganjurkan himpunan #ManaKapalLCS, berkait skandal LCS yang sehingga hari ini masih menjadi misteri, tanpa ada sesiapa yang benar-benar bertanggungjawab dihukum. Saya turun naik mahkamah selama hampir tiga tahun.
Pada 1 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan, yang ketika itu diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, telah memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman adalah tidak berperlembagaan, dan pertuduhan terhadap saya digugurkan.
Mahkamah Majistret kemudiannya mematuhi perintah Mahkamah Persekutuan dan menggugurkan pertuduhan tersebut. Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan peribadi saya, tetapi kemenangan besar untuk seluruh rakyat Malaysia. Satu peruntukan undang-undang yang sering digunakan untuk menakutkan, menyekat dan menghalang himpunan aman akhirnya diisytiharkan tidak sah.
Namun kini, Jabatan Peguam Negara memilih untuk membuka semula luka lama ini.
Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan semakan semula ini bukan sahaja satu pengkhianatan terhadap perjuangan panjang reformasi, tetapi juga membuktikan bahawa janji-janji reformasi yang dilaungkan selama ini hanyalah slogan kosong demi mendapatkan kuasa.
Untuk rekod, Jabatan Peguam Negara berada di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang melapor kepada Perdana Menteri. Maka Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab penuh terhadap keputusan ini.
Saya sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua kemungkinan. Jika perlu, saya bersedia untuk melawan semula, di mahkamah dan di luar mahkamah.
Saya cuma menyeru Anwar dan kuncu-kuncunya, termasuk seluruh pimpinan dan parti dalam kerajaan, berhentilah berpura-pura memperjuangkan agenda reformasi.
Tak perlu berpura-pura.
Penjarakan sahaja para aktivis jika itu yang kalian mahu.
Tak perlu bersusah payah.
Kami siap melawan.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan