Pasaran gelap rokok bernilai RM5 bilion terus cengkam ekonomi - CME
KUALA LUMPUR: Industri rokok haram di Malaysia yang dianggarkan bernilai sehingga RM5 bilion setahun dilihat masih menguasai pasaran tembakau tempatan walaupun pelbagai usaha penguatkuasaan giat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Isu penyeludupan barangan bercukai di sempadan negara disifatkan umpama barah yang tidak pernah surut sejak puluhan tahun lalu, malah situasi pasaran gelap produk tembakau di rantau ini dilihat semakin suram.
Menurut Pusat Pendidikan Pasaran (CME), aktiviti perdagangan haram ini mengakibatkan kerajaan-kerajaan di rantau Asia Tenggara menanggung kerugian hasil pendapatan yang besar berjumlah AS$3.69 bilion (RM15.43 bilion) setiap tahun.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merekodkan nilai rampasan termasuk cukai sebanyak RM1.8 bilion sepanjang tempoh Januari hingga November 2025.
Angka itu mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 17.52 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2024, mencerminkan peralihan strategi JKDM kepada pendekatan berasaskan hasil berbanding pendekatan berasaskan bilangan kes sebelum ini.
"Peningkatan ini menunjukkan tugasan penguatkuasa JKDM yang tidak terhenti dalam membendung industri rokok haram Malaysia yang bernilai sehingga RM5 bilion setahun," menurut kenyataan dalam dokumen berkenaan.
Sehingga 30 November 2025, JKDM telah melaksanakan 122 operasi penguatkuasaan melibatkan 6,597 kes secara keseluruhan.
Khusus bagi kategori rokok, JKDM merekodkan 2,248 kes rampasan yang membabitkan 526.82 juta batang rokok dalam tempoh 11 bulan pertama tahun 2025.
Rampasan rokok itu dianggarkan bernilai RM96.3 juta dengan nilai cukai terlibat mencecah RM364.18 juta.
Dokumen itu turut mendedahkan bahawa sindiket penyeludupan kini menggunakan taktik licik termasuk menggunakan kenderaan mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Sebagai contoh, satu kes di Terengganu pada Ogos 2025 menyaksikan rampasan 352,800 batang rokok bernilai lebih RM319,228 (termasuk duti dan cukai) yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah.
Walaupun bajet kerajaan bagi tujuan penguatkuasaan di kawasan sempadan dan pedalaman telah ditingkatkan, masalah rokok seludup tetap berterusan, menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan strategi pencegahan sedia ada.
Faktor utama yang dikenal pasti mengekalkan permintaan terhadap pasaran gelap adalah harga rokok sah yang tinggi, mendorong pengguna beralih kepada jenama rokok seludup yang dijual jauh lebih murah di bawah harga minimum yang ditetapkan.
Justeru, kerajaan disarankan supaya tidak hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu memikirkan langkah baharu bagi mengurangkan permintaan pengguna terhadap rokok seludup demi membendung ketirisan hasil negara.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan