Tiada lagi ternakan babi di Tanjong Sepat, tidak untuk eksport
SHAH ALAM — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan tiga ketetapan berkaitan operasi penternakan babi di Selangor termasuk ternakan bukan untuk eksport, hanya untuk memenuhi keperluan di negeri ini sahaja.
Baginda juga menitahkan tiada lagi operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dan kerajaan negeri tidak akan menyediakan peruntukan atau pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan.
Tiga ketetapan itu dititahkan baginda ketika sesi menghadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan rasmi Istana Selangor, Sultan Sharafuddin sudah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di negeri itu dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.
Sehubungan itu, Baginda telah memperkenankan dan menetapkan beberapa ketetapan.
Pertama, baginda menitahkan tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Kedua, melaksanakan kajian terperinci serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor.
Baginda menegaskan, tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.
Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.
Ketiga, baginda menegaskan bahawa Kerajaan Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan