Rabu, 16 Oktober 2024

HUTANG NEGARA


Belanja dan hutang meningkat

Oleh A Kadir Jasin
DALAM rencana akhbar Sinar Harian Ahad yang dikepilkan, saya menyebut mengenai adanya gesaan supaya kerajaan memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (goods and services tax/GST).

2. Pada hari yang sama, dalam ucapan di mesyuarat agung tahunan Persekutuan Dewan-dewan Perniagaan Cina Malaysia di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata beliau telah lama mengiktiraf GST sebagai cukai yang paling telus dan berkesan.

3. Tetapi, katanya rakyat jelata Malaysia perlu terlebih dulu mempertingkatkan paras pendapatan sebelum kerajaan boleh menimbangkan pelaksanaan semula cukai itu.

4. Berkenaan ramalan cukai warisan (inheritance tax) pula, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menafikannya. Beliau dilaporkan berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan oleh kabinet.

5. Jika diperkenalkan, sebahagian besar beban cukai ini akan ditanggung oleh masyarakat Cina kerana orang Cina adalah pemilik harta pusaka terbesar di negara ini.

6. Tetapi kerajaan wajib melakukan sesuatu bagi penambah hasil memandangkan beban perbelanjaan yang semakin meningkat dan hutang yang melambung.

7. Perbelanjaan mengurus tentu naik dengan pelaksanaan tangga gaji baru kakitangan awam mulai Disember ini.

8. Menurut Bernama, dari Januari hingga April tahun ini saja, hutang kerajaan naik sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion daripada RM1.17 trilion pada akhir 2023.

9. Hutang negara melonjak daripada kira-kira RM31 bilion pada tahun 1978 kepada RM1.5 trilion sekarang, iaitu peningkatan 48 kali ganda dalam tempoh 46 tahun.

10. Mohon baca rencana akhbar Sinar Harian yang dikepilkan untuk kefahaman lebih luas.


Tiada ulasan: