Imigresen, KKM serbu 10 klinik haram, tahan 10 warga Bangladesh menyamar doktor
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan berhasil menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap tempat terbabit.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban, berkata JIM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan operasi khas terhadap 10 lokasi membabitkan enam premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang semalam.
Beliau berkata, operasi yang bermula jam 11.45 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) KKM Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Operasi dibantu pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, operasi ini turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Jafri Embok Taha; Pengarah Bahagian Perisikan Dan Operasi Khas, Mohamad Anas Mohamad Dzarib; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Zawawi Abdullah dan Timbalan Pengarah, Cawangan Perisikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Azaruddin Jais.
"Berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dan berjaya menahan 10 orang lelaki warga Bangladesh berusia di antara 31 hingga 50 tahun.
"Semakan awal, mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang tinggal lebih masa, manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini," katanya.
Beliau berkata, pasukan operasi merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat.
"KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00.
"Warga asing ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan bahan Psikotropik) 1989, dan Peraturam 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.
Zakaria berkata, modus operandi digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dengan menyasar warga negara terbabit sahaja.
"Ubat-ubatan yang dijual mereka tidak berdaftar dan tiada kelulusan KKM yang dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
"Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa. Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warga Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama satu tahun.
"Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, dua lelaki warga Bangladesh dan enam wanita tempatan diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan