Penduduk pulang ke Gaza disambut bau mayat mereput
KAHERAH: Penduduk yang mula pulang ke Gaza disambut suasana suram dengan bau mayat mereput dan kemusnahan hampir kesemua kawasan perumahan yang ditinggalkan sejak perang Israel Hamas bermual 15 bulan lalu.
Difahamkan, sejumlah besar mayat masih tertimbus dibawah runtuhan bangunan dan belum dapat dikeluarkan lagi susulan musim sejuk yang sudah bermula memerlukan penduduk yang masih hidup menyediakan tempat berlindung.
Penduduk Palestin di utara Gaza semalam mula melakukan persiapan dengan menyediakan khemah untuk ahli keluarga yang hilang tempat tinggal, dua hari sebelum mereka dijangka kembali ke rumah masing-masing.
Sekumpulan lelaki mula mendirikan deretan khemah putih di kawasan lapang dikelilingi bangunan musnah untuk menerima keluarga yang merancang kembali ke utara, esok.
Persiapan itu dibuat ketika kumpulan pejuang Hamas dijadual membebaskan kumpulan kedua tebusan sebagai pertukaran bagi puluhan warga Palestin yang dipenjarakan Israel, seperti dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.
Ramai daripada ratusan ribu warga Palestin yang dijangka kembali ke utara Gaza akan pulang ke rumah yang musnah akibat serangan ketenteraan Israel selama 15 bulan, membunuh lebih 47,000 penduduk wilayah itu.
Pada Oktober lalu, pasukan Israel kembali ke utara Gaza dalam operasi besar-besaran anti-Hamas yang menumpukan pada kem pelarian Jabalia berhampiran Bandar Gaza, Beit Hanoun dan Beit Lahiya.
Operasi itu mengakibatkan penduduk kawasan berkenaan melarikan diri dan sebahagian besar bangunan di situ dirobohkan.
Hamas dalam kenyataan semalam, berkata keluarga yang hilang tempat tinggal akan mula kembali ke utara Gaza selepas pertukaran tebusan selesai esok, selain pasukan Israel berundur dari jalan pesisir menuju ke utara.
Katanya, orang ramai akan dibenarkan pulang dengan berjalan kaki melalui jalan pesisir, beberapa kilometer ke kawasan rasmi di utara sebelum boleh cuba mendapatkan kenderaan yang akan diperiksa di pusat pemeriksaan.
Hamas juga menegaskan, individu yang kembali ke utara Gaza tidak dibenarkan membawa senjata.
Sekurang-kurangnya empat tebusan dijangka diserahkan kepada Israel, esok.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, berkata kumpulan itu sedang berhubung dengan beberapa pihak Arab dan antarabangsa yang akan membantu operasi membawa pulang dan bantuan, termasuk menyediakan khemah.
Beliau berkata, Hamas yang mentadbir wilayah itu akan segera memulakan usaha membaiki rumah yang tidak musnah sepenuhnya.
"Kami akan menggunakan semua kemampuan untuk membantu rakyat. Majlis perbandaran sudah merancang untuk menyambut keluarga yang kembali ke utara, termasuk mendirikan khemah untuk mereka," katanya.
Di Jabalia, ramai yang sudah kembali mendiami rumah mereka yang rosak, menyalakan api untuk cuba memanaskan badan anak-anak mereka.
Mengenai kebimbangan rakyat Palestin terhadap pelaksanaan gencatan senjata itu, perkhidmatan kecemasan awam tempatan melaporkan, dua penduduk Gaza di Rafah terbunuh susulan bedilan kereta kebal Israel.
Tentera Israel dalam kenyataan pula berkata, askar melepaskan tembakan ke arah individu bersenjata di Rafah, namun tidak menyatakan sama ada pihak terbabit terkena tembakan atau sebaliknya.
Tentera juga memaklumkan pihaknya melepaskan tembakan ke arah individu di lokasi berbeza di Gaza, tetapi tidak mengesahkan sama ada berlaku kecederaan atau kematian. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan