Pasar Besar Meru 'gempar' diserbu awal pagi, lebih 600 warga asing ditahan
KLANG: Suasana di Kompleks Pasar Besar Meru di sini tiba-tiba berubah menjadi 'gempar', awal pagi tadi, apabila peniaga dan pengunjung warga asing bertempiaran lari sebaik saja melihat pasukan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen Malaysia) Selangor menyerbu kawasan itu.
Malah dalam operasi mengejut kira-kira jam 5 pagi tadi, ada warga asing terbabit yang nekad menyorok secara meniarap dalam longkang, selain bersembunyi di bawah meja niaga dan cuba melarikan diri dari kawasan pasar.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha, berkata lebih 600 warga asing diperiksa dan ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu itu, manakala 32 dibebaskan selepas dibuat pemeriksaan.
Beliau berkata, seramai 630 warga asing merangkumi pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan membabitkan 628 lelaki dan dua perempuan berumur dalam lingkungan 17 hingga 57 tahun yang terdiri daripada 530 warga Myanmar, Bangladesh (85), Indonesia (sembilan), India (lima) dan Nepal (seorang).
"Kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya pada sidang media di lokasi berkenaan, pagi ini.
Turut hadir ialah Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain.
Jafri berkata, antara kesalahan dikesan mengikut Akta Imigresen 1959/63 ialah tiada dokumen perjalanan sah, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi masa.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati ada PATI berniaga dengan memiliki gerai sendiri, selain menyewa daripada pemilik asal di pasar ini.
"Malah, hasil siasatan lanjut mendapati kadar sewa dikenakan pemilik asal terhadap warga asing berkenaan adalah sangat tinggi dan berlipat ganda," katanya.
Beliau berkata, operasi bersepadu kali ini membabitkan lebih 150 pegawai dan anggota imigresen, MBDK serta Pasukan Gerakan Am (PGA), selain usaha terbabit akan dijalankan secara berterusan untuk mengesan PATI dan sebarang kegiatan pemerdagangan orang.
Sementara itu, seorang warga asing berusia 40 tahun dari Batu Bara, Medan, Indonesia, yang turut ditahan dalam operasi terbabit berkata, dia nekad bersembunyi dengan meniarap dalam longkang selama kira-kira 20 minit sebelum dijumpai anggota imigresen.
"Saya bekerja menjual ikan di sini... saya hanya mengalami calar-calar kecil ketika cuba melarikan diri dan bersembunyi tadi.
"Kali pertama saya datang ialah pada 2004 dan pernah ditangkap serta dihantar pulang pada 2006. Saya datang semula pada 2022 dengan cara yang sah tetapi permit sudah tamat tempoh dua tahun lalu," katanya ketika ditemui.
Seorang lagi warga asing berusia 35 tahun dari Indonesia yang ditahan dan cuma ada sekeping kertas perakuan didakwa daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pula berkata, dia datang ke pasar itu hanya untuk membeli sayur serta ikan.
"Kebetulan di rumah, sayur dan ikan sudah habis... jadi saya datang ke pasar ini untuk membelinya. Saya sempat membeli sayur sebelum ditahan anggota imigresen.
"Ini kertas perakuan UNHCR tetapi sudah tamat tempoh pada November tahun lalu. Saya datang ke negara ini menggunakan 'jalan belakang' dengan menaiki bot pada 2019," katanya.


1 ulasan:
Pintu tutup sempadan bagi Nepal jaga, baru senang kah kah kah
Catat Ulasan