Semakin ramai pihak membantah keputusan menghentikan siasatan berkaitan rasuah terhadap Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, terutama ketika masih wujud persepsi tiada tindakan diambil terhadap ahli politik yang terlibat dalam skandal lesen perlombongan di Sabah itu.
Terbaru, Adun Warisan, Calvin Chong menyuarakan kebimbangan terhadap ‘kepantasan’ dan cara SPRM mengendalikan siasatan berhubung skandal itu dan membandingkan siasatan yang masih berjalan ke atas lapan Adun di Sabah.
“Bagaimana SPRM boleh menjalankan siasatan dan membuat kesimpulan bahawa tiada pertuduhan boleh dikenakan terhadap Farhash dalam tempoh yang begitu singkat?”
"Kes ini nampak terlalu cepat diselesaikan, terutama jika dibandingkan dengan kes lapan Adun dan Speaker Dewan Negeri. (Kes berkenaan) sudah lama diketahui umum tetapi masih tiada perkembangan atau maklumat baru daripada SPRM,” katanya.
Chong menegaskan perkara itu menimbulkan persoalan serius, termasuk mengapa siasatan terhadap Farhash diselesaikan “dengan cepat” sedangkan kes yang melibatkan ramai wakil rakyat masih berlarutan “tanpa hasil yang jelas”.
“Adakah SPRM menggunakan standard siasatan yang sama rata kepada semua pihak, atau wujud persepsi dwistandard bergantung kepada individu yang terlibat?
“SPRM digesa menjelaskan perbezaan pendekatan ini serta memberikan kemas kini berkala kepada orang ramai berhubung siasatan ke atas Adun Sabah,” tegas Chong.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata kes membabitkan Farhash, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, telah ditutup kerana antaranya tiada isu tadbir urus.
Azam menjelaskan agensi itu telah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), yang kemudian memutuskan tiada sebarang pertuduhan jenayah boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak.
Bagaimanapun, Lembaga Pengurusan Mineral Sabah Sdn Bhd (SMM) yang dipengerusikan Hajiji menafikan mana-mana syarikat yang ada kaitan dengan Farhash diberikan lesen meneroka mineral di kawasan hutan simpan besar di negeri itu.
Farhash turut menyifatkan laporan tersebut sebagai palsu dan menghantar surat tuntutan kepada MalaysiaNow serta membuat laporan polis terhadap portal berkenaan.
Chong dalam kenyataan sama berkata integriti dan ketelusan siasatan SPRM ke atas Farhash boleh dipersoalkan kerana badan itu “melaksanakan semuanya dalam diam-diam”.
Dia khususnya merujuk kepada kenyataan Azam bahawa semua pihak yang terlibat telah dipanggil oleh SPRM.
“Siapa pihak-pihak itu? Ingat bahawa kes ini melibatkan rakaman audio ketua menteri (Hajiji) yang memberi arahan kepada SMM untuk meluluskan perkara tersebut, namun sehingga kini, ketua menteri masih belum membuat apa-apa kenyataan atau penjelasan awam mengenai rakaman itu.
“Adakah SPRM ‘menjemput’ ketua menteri untuk disiasat? Di mana ketelusan? Tanpa pendedahan hasil siasatan, bagaimana rakyat boleh menerima bahawa siasatan ini tidak dipengaruhi oleh hubungan politik?” soal beliau.
Sebelum ini, Muda menegaskan bahawa SPRM dan AGC hanya akan dihormati sekiranya berani menguatkuasakan undang-undang tanpa gentar atau pilih kasih.
Mereka mendakwa tindakan menghentikan siasatan terhadap Farhash boleh dilihat masyarakat sebagai “satu lagi episod ‘cuci tangan’ untuk menyelamatkan individu dalam rangkaian politik kerajaan Madani”.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan