Hampir sejuta sertai tunjuk perasaan bantah dasar penjimatan Perancis
PARIS: Hampir sejuta orang turun ke jalanan di seluruh Perancis sejak Khamis bagi membantah dasar penjimatan dirancang Presiden Emmanuel Macron, yang mengakibatkan gangguan besar terhadap kehidupan awam di negara itu.
Mengikut seruan daripada kesatuan sekerja, penunjuk perasaan mengadakan 'Hari Tindakan', menyaksikan pengangkutan awam terhenti, sekolah ditutup dan rakyat membanjiri jalan dalam demonstrasi, yang kadangkala membabitkan pertembungan dengan pihak polis.
Salah satu kesatuan sekerja, CGT yang berhaluan kiri, berkata lebih sejuta orang menyertai demonstrasi di seluruh negara, lebih tinggi daripada 900,000 orang yang dikatakan menyertai protes pada Jun 2023 bagi menentang kenaikan usia persaraan daripada 62 kepada 64 tahun.
Pihak berkuasa Perancis, yang lazimnya melaporkan jumlah lebih rendah berbanding kesatuan sekerja, berkata lebih 500,000 orang berdemonstrasi, termasuk 55,000 orang di Paris.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, berkata 309 orang ditahan sepanjang demonstrasi itu dan seramai 7,300 penunjuk perasaan yang 'radikal' dipercayai terbabit selain 26 anggota polis cedera.
Perdana Menteri, Sebastien Lecornu, ketua kerajaan ketujuh Macron sejak 2017, berjanji untuk membuat perubahan berbanding pendekatan lama, dalam usaha meredakan krisis politik yang semakin memburuk selepas memegang jawatan minggu lalu.
Bagaimanapun, pelantikan bekas menteri pertahanan berusia 39 tahun itu, yang juga sekutu rapat Macron, gagal menenangkan kemarahan kesatuan sekerja dan sebahagian besar rakyat Perancis.
"Saya tegaskan komitmen saya untuk meneruskan dialog dengan semua pihak sosial," kata Lecornu dalam kenyataan pada Khamis dan memaklumkan, beliau akan bertemu semula dengan pemimpin kesatuan sekerja tidak lama lagi.
Ramai penunjuk perasaan bagaimanapun, menyasarkan Macron secara langsung, yang kini hanya tinggal hanya 18 bulan dalam penggal pemerintahannya dan mengalami tahap populariti paling rendah sejak memegang jawatan.
Beberapa sepanduk kelihatan mendesak beliau meletak jawatan dan penunjuk perasaan di bandar selatan Nice melempar patungnya ke udara.
Penunjuk perasaan lain pula mengadu mengenai jurang yang semakin melebar antara rakyat biasa dan golongan elit, selain beberapa dasar penjimatan kerajaan yang akan memberi kesan paling teruk kepada golongan miskin.
Lebih 80,000 anggota polis dikerah bagi mengawal demonstrasi itu, dengan bantuan dron, kenderaan perisai dan meriam air.
Kesatuan sekerja berkata, mereka berpuas hati dengan skala demonstrasi berkenaan.
"Kami merekodkan 260 demonstrasi di seluruh Perancis," kata ketua kesatuan CGT, Sophie Binet.
Polis di Paris dan Marseille menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan demonstrasi awal yang tidak mendapat kebenaran.
Di Marseille, wartawan AFPTV merakam seorang polis menendang penunjuk perasaan yang terbaring di tanah, sementara polis menyatakan mereka berdepan dengan penunjuk perasaan yang bertindak ganas.
Di pinggir bandar Lille di utara, penunjuk perasaan menyekat depoh bas pada awal pagi sebagai bantahan, malah pelajar sekolah turut serta dengan menyekat akses ke Sekolah Menengah Maurice Ravel di timur Paris sambil mengangkat sepanduk berbunyi, 'Sekat sekolah anda, bantah penjimatan!' - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan