Isnin, 17 November 2025

CHINA MULA BUAT KACAU


Kapal Pengawal Pantai China rentas Kepulauan Senkaku, 'gertak' Jepun


BEIJING: Satu formasi kapal Pengawal Pantai China (CCG) sengaja merentasi perairan Kepulauan Senkaku milik Jepun hari ini dalam operasi 'rondaan penguatkuasaan hak', sebagai gertakan Beijing terhadap Tokyo.

Menurut kenyataan CCG, tindakan itu dilakukan Beijing bagi meningkatkan ketegangan dengan Jepun berikutan kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengenai Taiwan.

Ketegangan diplomatik antara China dan Jepun semakin memuncak selepas Takaichi memberitahu Parlimen pada 7 November bahawa andainya China menyerang Taiwan yang diperintah secara demokratik, maka ia boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Tokyo.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Beijing, yang memberi isyarat bahawa Takaichi sepatutnya menarik balik kenyataan itu sama sekali.

China menuntut Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk menguasai pulau itu, yang terletak hanya 110 kilometer (km) dari wilayah Jepun, namun ditolak kerajaan Taiwan.

"Kapal CCG 1307 telah melakukan rondaan dalam perairan wilayah Kepulauan Diaoyu. Ini adalah operasi rondaan sah yang dijalankan oleh CCG untuk menegakkan hak dan kepentingannya," menurut kenyataan itu.

China dan Jepun beberapa kali bertembung di sekitar kepulauan yang berada di bawah pentadbiran Jepun itu, yang dipanggil Diaoyu oleh Beijing dan Senkaku oleh Tokyo.

Kedutaan Jepun di Beijing belum memberi maklum balas segera terhadap permintaan komen.

Sejak kenyataan Takaichi, China meningkatkan tekanan terhadap Jepun, dengan Konsul Jeneral China di Osaka memberi amaran: "Kepala kotor yang menonjol mesti dipotong", sekali gus mencetuskan protes rasmi dari Tokyo.

Beijing kemudian memanggil duta Jepun buat pertama kali dalam lebih dua tahun, dan kementerian pertahanan China menyatakan sebarang campur tangan Jepun pasti gagal.

Pada Jumaat, China menasihatkan warganya tidak melancong ke Jepun, menyebabkan Tokyo menggesa Beijing mengambil 'tindakan sesuai' tanpa memberi penjelasan lanjut.

Tiga syarikat penerbangan China pada Sabtu berkata tiket ke Jepun boleh dikembalikan atau ditukar secara percuma.

Di Taiwan, kementerian pertahanan berkata pada pagi Ahad, ia mengesan 30 pesawat tentera China beroperasi sekitar pulau itu dan tujuh kapal tentera laut dalam tempoh 24 jam lalu.

Lewat Sabtu, kementerian berkata China menjalankan satu lagi 'rondaan gabungan ketenteraan' untuk 'mengganggu ruang udara dan laut di sekitar Taiwan'.

Taiwan pula menghantar pesawat dan kapal sendiri untuk memantau keadaan. Taiwan melaporkan rondaan China seperti ini beberapa kali sebulan sebagai sebahagian daripada apa yang dikatakan Taipei sebagai kempen tekanan ketenteraan berterusan.

Kerajaan Taiwan menegaskan hanya rakyat pulau itu yang boleh menentukan masa depan mereka.

Sebelum ini, pemimpin Jepun mengelak menyebut Taiwan secara terbuka ketika membincangkan senario sedemikian, mengekalkan 'kesamaran strategik' yang turut digemari oleh sekutu keselamatan utama Tokyo, Amerika Syarikat (AS). - REUTERS


SUASANA BAIK

UNTUK MULAKAN

PERANG DUNIA

SEKALI LAGI

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: