SPRM siasat perolehan UKM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM58.45 juta.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, berkata sehingga ini, pihaknya sudah memanggil lima individu untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.
Beliau berkata SPRM membuka kertas siasatan selepas pendedahan dilakukan Laporan Ketua Audit Negara pada Julai lalu.
"Setakat ini, proses siasatan termasuk penelitian dokumen berkaitan masih giat dijalankan.
"Selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan itu," katanya hari ini.
Beliau berkata SPRM memberi komitmen berterusan dalam memastikan integriti dan pengurusan tatakelola negara dilaksanakan dengan baik, selaras dengan usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.
BH difahamkan, isu perolehan itu turut disentuh dalam titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Majlis Pengisytiharan Pembukaan Konvokesyen ke-53 UKM di Bangi, hari ini.
Pada Julai lalu, LKAN dilaporkan mendedahkan, tiga daripada tujuh tender perolehan UKM berjumlah keseluruhan RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.
Laporan itu mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.
"Terdapat ketidakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan di UKM. Keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender dibuat oleh semua ahli secara kolektif.
"Ini termasuk Jawatankuasa Pra-Tender yang memperakukan syarikat yang gagal di peringkat Jawatankuasa Penilaian Tender bagi kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif," menurut laporan itu.
Laporan turut menyatakan bahawa Naib Canselor, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perolehan, bertanggungjawab memastikan operasi universiti dan tadbir urus perolehan berjalan dengan teratur, selaras dengan subseksyen 12(3) Perlembagaan UKM serta prinsip 'duty of care'.
Menurut laporan LKAN itu, UKM juga didapati tidak melantik wakil Kementerian Kewangan (MoF) sebagai ahli Jawatankuasa Perolehan, manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang dilantik tidak hadir dalam mesyuarat berkaitan tiga tender berkenaan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan