Ahad, 30 November 2025

PERJANJIAN ANWAR-TRUMP 2025 HAPUSKAN HAK BUMIPUTERA


Benarkah HakBumiputra Terjamin Bawah Perjanjian Anwar-Trump 2025 ?


Kenyataan Menteri Perdagangan dan Pelaburan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa hak bumiputera kononnya ‘dilindungi’ dalam Perjanjian Anawar - Trump 2025  adalah hujah yang tidak berasaskan fakta.

Malah ia bertentangan dan tidak selari dengan teks perjanjian yang beliau sendiri rundingkan.  

Sesiapa pun yang membaca perjanjian itu dengan jujur dan ikhlas akan tahu bahawa klausa perjanjian tersebut secara terang-terangan membuktikan bukan hanya hak bumiputera – sama ada orang Melayu ataupun bumiputera Sabah dan Sarawak – tidak akan dilindungi, malah menimbulkan kebimbangan ia digadaikan dengan mudah.

Agenda ekonomi bumiputera yang kita pegang teguh sejak sebelum merdeka lagi kini telah dicampak dalam sekelip mata.

Mari kita perhalusi klausa perjanjian tersebut.

Artikel 6.2: Pertimbangan Komersial
1. Malaysia hendaklah memastikan bahawa perusahaan milik atau kawalan kerajaan (SOE) yang beroperasi dalam pasaran Malaysia, apabila menjalankan aktiviti komersial—

(a) bertindak selaras dengan pertimbangan komersial dalam pembelian atau penjualan barang atau perkhidmatan; dan

(b) tidak mendiskriminasi barang atau perkhidmatan dari AS.

Malaysia hendaklah tidak menyediakan bantuan bukan komersial atau apa-apa bentuk subsidi kepada SOE pengeluar barangan, kecuali bagi memenuhi obligasi perkhidmatan awam mereka.

Malaysia hendaklah memastikan medan persaingan yang sama rata bagi syarikat-syarikat AS dalam pasaran Malaysia berhubung dengan SOE dari negara ketiga.

2. Atas permintaan bertulis AS, Malaysia hendaklah menyediakan maklumat tidak sulit berkenaan semua bentuk bantuan bukan komersial atau subsidi yang diberikan kepada mana-mana perusahaan pembuatan dalam wilayahnya, dan hendaklah mengambil tindakan untuk menangani kesan-kesan penyongsangan daripada subsidi dan mekanisme sokongan tersebut yang boleh memberi kesan material terhadap perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS.

Secara jelas, perkara 6.2 di atas telah melucutkan agenda ekonomi bumiputera. Klausa itu mewajibkan SOE — termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Petronas, TNB, PNB, Tabung Haji (TH), dan KWAP — untuk beroperasi hanya mengikut pertimbangan komersial semata-mata.

Dedah maklumat dasar dalaman

Ini secara langsung menghalang SOE daripada mengamalkan dasar keutamaan bumiputera dari segala segi kerana tindakan sedemikian akan dianggap melanggar prinsip tidak mendiskriminasi terhadap barangan atau perkhidmatan AS.

Implikasinya adalah jelas – syarikat GLC kini tidak boleh lagi bertindak sebagai alat dasar afirmatif yang termaktub di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Fungsi SOE – termasuk untuk membangunkan kapasiti industri bumiputera seperti program perolehan – kini lenyap.  Apabila syarikat AS dilayan setara dengan syarikat bumiputera dalam tender Petronas atau TNB, ‘keistimewaan’ firma bumiputera kini secara de facto hilang atau dikongsi bersama dengan syarikat AS.

Ada benarnya apa yang dikata Dr Mahathir Mohamad bahawa syarikat AS kini sama tarafnya dengan syarikat bumiputera.

Soalannya, apa akan jadi kepada segala perancangan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35) yang dilaungkan sebagai pelan yang akan meningkatkan penguasaan bumiputera dalam ekonomi?

Justeru, di mana bukti agenda bumiputera dipelihara?

Lebih membimbangkan, Perkara 6.2 (2) memberi hak kepada AS untuk menuntut maklumat bertulis mengenai semua bentuk bantuan bukan komersial atau subsidi yang diberikan kepada mana-mana perusahaan pembuatan di negara kita.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga diwajibkan mengambil tindakan untuk menangani apa-apa impak penyongsangan (distortive impacts) subsidi tersebut jika AS mendapati ia menjejaskan perdagangan dua hala.

Cabaran kepada menteri
Kita bukan sahaja perlu mendedahkan maklumat dasar dalaman kepada ‘tuan besar’ AS, malah terpaksa mengubahnya mengikut telunjuk mereka. Ini pun kita setuju dan tandatangani. Amat memalukan, bukan?
Dalam 16 rundingan perjanjian perdagangan terdahulu, Malaysia berjaya mendapatkan pengecualian penting untuk agenda bumiputera. RCEP – perjanjian dagang 10 negara Asean bersama Jepun, China, Korea Selatan, Australia dan New Zealand yang kita tandatangani pada 2022 – langsung tidak menyentuh agenda bumiputera dalam perolehan kerajaan.

Dalam CPTPP pula – perjanjian yang juga kita tandatangani pada 2022 bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, United Kingdom dan Vietnam – kita berjaya mendapatkan beberapa pengecualian penting pada SOE seperti Petronas, KWSP, KWAP, PNB, TH, LTAT, Felda, serta institusi kewangan pembangunan (DFI) seperti Bank Pembangunan Malaysia Bhd dan Bank Pertanian Malaysia Bhd.

Kita berjaya mempertahankan ruang untuk melindungi agenda bumiputera. Mengapa kali ini kita menyerahkan agenda nasional ini dengan mudah?

Demi prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan Madani, saya mencabar menteri yang tidak dipilih rakyat dalam pilihan raya yang lalu itu berkongsi dengan orang ramai beberapa perkara berikut.

Pertamanya, analisis kos dan faedah (CBA) penuh yang dilakukan sebelum ART ditandatangani. Kedua, Minit Mesyuarat Jemaah Menteri ketika Perjanjian Anwar-Trump  diluluskan bagi menilai ulasan terhadap implikasinya oleh kementerian-kementerian yang terbabit, termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kesihatan, Kementerian  Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Pejabat Peguam Negara.

Rakyat berhak tahu proses dan justifikasi sebenar di sebalik keputusan sebesar itu.

Kesimpulannya, Perjanjian Anwar-Trump  menimbulkan kebimbangan yang serius bahawa dasar ekonomi bumiputera yang dibina selama berdekad-dekad lalu kini berdepan risiko terjejas hanya dengan satu tandatangan.

Apa yang kita saksikan adalah penyerahan kedaulatan ekonomi yang amat memalukan.

Jika Perjanjian Pangkor 1874 adalah peristiwa yang mengorbankan kedaulatan politik kita kepada penjajah, ART ini adalah pengkhianatan yang jauh lebih durjana dengan menghakis kedaulatan ekonomi.

Perjanjian yang dimeterai itu bukan sekadar cuai, tetapi ditandatangani dengan angkuh dan mengkhianati jutaan rakyat Malaysia, terutamanya bumiputera. Ia adalah perjanjian yang paling memudaratkan pascamerdeka.

Bekas Peguam Negara Tommy Thomas menyebut minggu lalu bahawa “Tidak pernah pun di bawah empayar British, kuasa kolonial dan imperialis mempunyai kawalan langsung dan pengaruh sebegitu rupa ke atas ekonomi Malaya…jauh lebih buruk selepas 68 tahun merdeka.”

Sejarah dunia sarat dengan kisah-kisah pengkhianatan yang dilakukan oleh warganya sendiri. Banyak negara – termasuk di negara kita – berulang kali ditikam dari belakang. Acap kali kita diancam bukan oleh musuh dari luar, tetapi daripada mereka yang rela menggadaikan hak warisan ekonomi bangsa demi kepentingan yang tidak kita ketahui.

𝙈𝙪𝙝𝙖𝙢𝙢𝙚𝙙 𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡 𝙆𝙝𝙖𝙡𝙞𝙙 𝙞𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙛𝙚𝙡𝙤 𝙙𝙞 𝙒𝙤𝙧𝙡𝙙 𝙄𝙣𝙚𝙦𝙪𝙖𝙡𝙞𝙩𝙮 𝙇𝙖𝙗 𝙙𝙞 𝙋𝙖𝙧𝙞𝙨 𝙎𝙘𝙝𝙤𝙤𝙡 𝙤𝙛 𝙀𝙘𝙤𝙣𝙤𝙢𝙞𝙘𝙨. 𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙩𝙚𝙡𝙖𝙝 𝙙𝙞𝙩𝙚𝙧𝙗𝙞𝙩𝙠𝙖𝙣 𝙙𝙞 𝙢𝙖𝙡𝙖𝙮𝙨𝙞𝙖𝙠𝙞𝙣𝙞 𝙥𝙖𝙙𝙖 29 𝙉𝙊𝙑 25

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semua nak free...cuba bayar cukai dulu sebelum bincang pasai ART.

Tanpa Nama berkata...

Barua upahan Atok Saka

Tanpa Nama berkata...

Bumiputera ada kelas kayangan, kelas sederhana dan kelas bawahan, nama sama tetapi layanan peruntukan kuota haji umrah pun berbeza kah kah kah, mampus