Ahad, 30 November 2025

ANGKA MATI TUJUH PULUH RIBU


Angka kematian perang Gaza melepasi 70,000 mangsa

GAZA: Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas semalam mengumumkan bahawa lebih 70,000 orang telah terbunuh sejak perang antara Israel dan Hamas meletus lebih dua tahun lalu.

Peningkatan angka korban yang membimbangkan ini berlaku di tengah gencatan senjata rapuh yang diuruskan oleh Amerika Syarikat (AS), tatkala kedua-dua pihak saling menuduh melanggar syarat perjanjian.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan angka kematian akibat perang itu telah meningkat kepada 70,100.

Peningkatan angka ini adalah sebahagian besarnya disebabkan data berkaitan 299 mayat telah diproses dan disahkan oleh pihak berkuasa.

Kementerian itu turut menyatakan, sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, seramai 354 rakyat Palestin telah terbunuh akibat tembakan Israel.

Dalam tempoh 48 jam yang lalu, dua lagi mayat telah dihantar ke hospital di Semenanjung Gaza, termasuk satu yang berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan.

Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, wilayah Palestin itu kekal berada dalam krisis kemanusiaan yang mendalam.

Angka korban terbaharu ini diumumkan ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut Hari Solidariti Antarabangsa dengan Rakyat Palestin pada 29 November setiap tahun.

Ketua PBB, Antonio Guterres, dalam kenyataannya, menegaskan bahawa pembunuhan ramai orang awam, pemindahan berulang kali seluruh populasi, dan halangan bantuan kemanusiaan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.

"Gencatan senjata baru-baru ini menawarkan sedikit harapan. Kini adalah penting bagi semua pihak untuk menghormatinya sepenuhnya dan berusaha dengan niat baik ke arah penyelesaian yang memulihkan serta menjunjung undang-undang antarabangsa," katanya.

Perang Gaza tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, yang meragut nyawa 1,221 orang dan menyaksikan 251 orang diculik ke Gaza.

Sehingga kini, semua 20 tebusan Israel yang masih hidup telah dibebaskan oleh Hamas, manakala mayat 26 tebusan yang meninggal dunia telah dikembalikan.

Sebagai pertukaran, Israel telah membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin dan memulangkan mayat ratusan tahanan Palestin yang meninggal dunia.




GENCATAN

 SENJATA

HANYA TEATER

AMIN

TUJUAN UNTUK

TRUMP DAPAT

HADIAH NOBEL

KHALAS

Tiada ulasan: