Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) memanggil peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei untuk disoal siasat, langkah yang dikecam kumpulan aktivis guaman sebagai tekanan dan intimidasi.
Zaid Malek dari Lawyers for Liberty (LFL) berkata, agensi itu malam tadi menyerahkan notis kepada Mahajoth Singh bagi mengarahkan peguam terbabit hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi hari ini.
Katanya SPRM mahu merakam keterangan Mahajoth dalam siasatan melibatkan Tei, sesuatu yang disifatkan Zaid sebagai “luar biasa dan tidak sah” serta “menimbulkan persoalan serius tentang kewajaran siasatan dan kepada kedaulatan undang-undang”.
Mengecam tindakan itu, Zaid berkata SPRM memanggil Mahajoth sehari selepas agensi antirasuah berkenaan menghalang peguam terbabit bertemu Tei.
“...ini menunjukkan kecenderungan ke arah sikap melanggar undang-undang oleh SPRM.
“Tindakan-tindakan ini jelas merupakan tekanan, intimidasi dan campur tangan terhadap seorang peguam yang mewakili anak guamnya dalam kes jenayah.
“Seorang peguam mesti boleh menasihati dan mewakili anak guamnya secara bebas tanpa takut halangan atau intimidasi.
“Memanggil peguam untuk disiasat dengan cara yang menceroboh komunikasi sulit peguam–anak guam adalah pelanggaran serius Seksyen 126 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 46 Akta SPRM 2009 yang melindungi komunikasi antara peguam dan anak guam,” katanya dalam kenyataan.
Dia menyifatkan cubaan membawa Mahajoth untuk disoal siasat sebagai serangan terhadap keadilan dan kebebasan profesion guaman.
Zaid juga menggesa SPRM segera menarik balik notis terhadap Mahajoth dan menghentikan tindakan yang boleh menjejaskan integriti proses undang-undang.
Katanya LFL mahu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memberi penjelasan berhubung “cubaan tidak sah untuk menyoal dan mengintimidasi peguam Albert Tei”.
Zaid menegaskan mandat SPRM ialah menyiasat rasuah, bukannya menyoal peguam mengenai perkara yang berada dalam ruang lingkup kerahsiaan guaman.
“Tindakan seperti ini menjejaskan integriti proses siasatan dan melanggar prinsip teras kerahsiaan peguam–anak guam, satu perlindungan asas kepada pentadbiran keadilan.
“Tiada agensi penguat kuasa berhak untuk memaksa, atau cuba memaksa, peguam mendedahkan perkara yang mereka terikat dari segi undang-undang dan etika untuk tidak dedahkan,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi Mahajoth dan Azam untuk mendapatkan komen mereka.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan