Israel kukuhkan cengkaman di Tebing Barat dengan penempatan baharu - PA
RAMALLAH: Pihak berkuasa Palestin (PA) mengecam kelulusan baharu oleh Israel terhadap 19 penempatan di Tebing Barat yang didirikan secara haram dan menuduhnya mengetatkan lagi kawalan ke atas tanah Palestin.
Kementerian Luar Palestin yang berpangkalan di Ramallah mengutuk kelulusan itu sebagai langkah berbahaya yang bertujuan untuk memperluaskan penjajahan atas keseluruhan tanah Palestin.
PA menyifatkannya sebagai kesinambungan dasar aparteid, pencerobohan penempatan, dan pengilhakan yang merampas hak rakyat Palestin yang dijanjikan tidak akan dicabuli.
Sebelum itu, Menteri Kewangan sayap kanan Israel, Bezalel Smotrich, mengumumkan pihak berkuasa telah memberi lampu hijau kepada penempatan itu, sambil menyatakan langkah terbabit bertujuan untuk menghalang penubuhan negara Palestin.
Kementerian Luar Palestin berkata keputusan itu menyediakan perlindungan politik untuk mempercepatkan rompakan tanah Palestin, memperluas infrastruktur penempatan di samping peningkatan kadar keganasan pendatang terhadap ahli masyarakat Palestin dan harta benda mereka.
Langkah terbaharu itu meningkatkan jumlah keseluruhan penempatan yang diluluskan sepanjang tiga tahun lalu kepada 69, kata pejabat Smotrich.
Ini tidak termasuk Baitulmaqdis Timur, yang diduduki dan diilhakkan oleh Israel pada 1967. Lebih 500,000 warga Israel tinggal di Tebing Barat, bersama-sama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Pejabat Smotrich berkata 19 penempatan yang baru diluluskan itu terletak di kawasan yang disifatkannya sebagai sangat strategik, sambil menambah bahawa dua daripadanya, Ganim dan Kadim di utara Tebing Barat akan dibangunkan semula selepas dimusnahkan dua dekad lalu.
"Lima daripada 19 penempatan itu sudah wujud tetapi sebelum ini tidak diberikan status undang-undang di bawah undang-undang Israel," kata kenyataan itu.
Keputusan Israel itu dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata perluasan penempatan Israel di Tebing Barat, yang semuanya haram di bawah undang-undang antarabangsa, mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017.
Presiden AS, Donald Trump, baru-baru ini memberi amaran bahawa Israel akan kehilangan semua sokongannya daripada Amerika Syarikat (AS) jika ia merampas Tebing Barat.
Israel telah menduduki wilayah itu sejak 1967, dan keganasan di sana melonjak berikutan meletusnya perang Gaza pada Oktober 2023 dengan serangan Hamas ke atas Israel.
Tentera atau pendatang Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 1,028 rakyat Palestin di Tebing Barat termasuk pejuang dan orang awam sejak permulaan pertempuran di Gaza, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka kementerian kesihatan Palestin.
Sekurang-kurangnya 44 warga Israel telah terbunuh di Tebing Barat dalam serangan Palestin atau operasi ketenteraan Israel dalam tempoh yang sama, menurut data Israel. - AFP


1 ulasan:
And who gives a flying fuck?
Catat Ulasan